Membelek-belek buku Himpunan Kisah Para Wali terbitan Hijjaz Record. Sekadar menambah pengetahuan tentang wali-wali yang dimuliakan Allah. Walaupun aku lihat disiplin ilmu dalam penyediaan buku ini agak longgar, ia banyak mutiara kata yang boleh membantu hati. Paling tidakpun, agar hati masih ada cinta pada orang-orang soleh.
Penceritaan yang amat hampir kepada sufi. Ada sebahagian cerita yang kelihatan agak berlebih-lebihan dalam keajaibannya. Aku yakin bukan itu yang si wali mahukan. Namun anak-anak murid yang terlampau menyayangi, memuji-muji kelebihan guru yang disayangi. Sekurang-kurangnya mereka sayang kepada guru yang begitu hebat amalnya.
Dalam kisah ketiga, diceritakan ibrahim bin Adham berdoa agar salah seorang(dirinya atau anaknya) dimatikan, kerana cinta sesama mereka telah me"maling"kan cintanya kepada Allah. Dan akhirnya, anaknya meninggal dunia setelah kali pertama mereka bertemu ketika di mekah. Walaupun niat penceritaan ini baik, namun aku terpaksa menapis diri untuk menjadikannya sebagai hujah. Setidak-tidaknya, ia menghalang diri aku dari menghina orang-orang alim.
Akhir zaman, hormat-hormat sebegini sudah di"tarik" dari hati-hati manusia. Artis-artis yang dipertahankan kemaksiatannya, para ulama' pula dimaksiatkan kebaikan-kebaikannya. Orang-orang yang menyayangi dituduh taksub, yang menghina pula diangkat-angkat sebagai pejuang kebenaran. Hinggalah saat kematian sudah hampir, caci-maki non-muslim itu disokong penuh oleh muslim-muslim, yang iman hanya tersekat pada kerongkong-kerongkong mereka, belum sempat menyusup ke dalam hati-hati mereka.
"Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi iman belum menyerap ke dalam hati, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-intai cacat cela mereka, sesungguhnya sesiapa yang cacat celanya diintai oleh Allah nescaya Allah akan bukakan pekungnya walaupun di tengah rumahnya sendiri. " (HR Abu Daud)
Ketika Ustaz Fadhil meninggal dunia, aku masih belum mengenal ulama' dan pimpinan jemaah. Ketika aku mula menyayangi Ustaz Azizan Razak, dia mula dipanggil Allah. Air mata yang mengalir laju ketika itu, aku sendiri kurang pasti dari mana puncanya. Sebab aku tidak pernah berjumpanya. Kemudian Allah tarik satu persatu.
Ustaz Harun Taib.
Ustaz Abu Bakar Chik
Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Tuan guru haji Salleh Musa.
Dan hari ini, Allah menarik lagi satu permata ummah TG Dr Harun Din. Tiada air mata untuk aku mengiringi pemergiannya. Kerana saat berita itu hadir, yang aku sedih bukan dirinya yang meninggalkan, tetapi kerisauan akan mereka-mereka yng ditinggalkan
Jemaah yang sudah terlampau banyak kehilangan. Fitnah yang pasti semakin menjadi-menjadi dn berleluasa dengan pemergiannya. Dan paling aku fikirkan, TG Haji Hadi yang semakin berat beban yang akan dipikulnya dengan ketiadaan semua yang sentiasa sebaris dengannya. Tohmahan, makian, fitnah, labelan, pembunuhan karakter, semuanya pasti akan tertumpu kepada dirinya sahaja selepas ini. Setelah insan-insan yang berkongsi dugaan-dugaan sama "meninggalkan" perjuangan satu persatu. Berat aku memikirkannya. Berat lagi dirinya yang memikul
Ayuh ummah.
Kalian sudah terlampau banyak kehilangan cahaya.
Hargailah yang masih ada.
Julanglah, walaupun kalian dituduh pentaksub.
Kerana yang pergi ini belum tentu berganti.
Dan yang tinggal kini, perginya pasti.
InnalilllahIwainnairajiun.....
Selamat pergi permata Ummah
Sekian dari Syuib0809.
No comments:
Post a Comment