Sunday 8 March 2015

Sejarah Anak Muda

Bismillah.

Merenung kembali zaman-zaman ketika pertama kali bergiat di dalam badan dakwah. Orang muda belasan tahun yang penuh dengan motivasi dan semangat, maka "hati"nya kurang menjadi cermin sisi. Mahu melakukan segala-galanya tanpa menoleh belakang melihat sejarah, maka diri kerap benar memberontak. Bila program-program tarbiyah, dakwah, Islam kelihatan seolah-olah "disekat" oleh pentadbiran dan orang-orang tua, kami mudah melabel. Membuat kesimpulan-kesimpulan sumbang, kononnya individu-individu itu tidak faham agama.

Acapkali, kami merancang program-program sendiri. Bila keputusan sudah diambil, baru akan dimaklumkan pada guru penasihat. Merasakan diri sudah matang, membuat keputusan berjemaah sesama kami sudah kelihatan berkesan tanpa penglibatan guru penasihat. Hinggalah aku dan rakan-rakan tersedar, betapa hebatnya ustaz (guru penasihat) sebenarnya. Orang yang menubuhkan badan dakwah dan menyuburkan kerja-kerja Islam bertahun-tahun di Kolej. Sayangnya, kami tidak berjaya memanfaatkan sepenuhnya kehebatan beliau. Kesedaran yang muncul di hujung-hujung sesi, kami terlepas mengutip butir-butir nasihat dan pengalaman darinya.

 Bersama Ustaz Malikie dan Ustazah Husna. Sangat-sangat hebat. Tiba-tiba rindu nak kembali pada zaman ni. Ramai yang dah kahwin pun.

Tahun 2015, aku tersepit di antara orang tua dan orang muda. Ustaz-ustaz yabg kelihatan layu dan anak-anak pelajar yang cukup bersemangat, lalu aku kembali melihat pertembungan dua generasi. Si tua yang nasihatnya kelihatan menyekat, maka anak muda suka membuat keputusan sendiri. Kedua-duanya punya niat yang baik untuk Islam, namun anak muda kerap sukar memahami. Ayat-ayat "ustaz tak faham...", "ustaz tak tahu apa jadi....", "ustaz tak pernah..." adalah ayat-ayat anak muda yang mudah merendahkan apabila mereka memberontak. Maka si tua sekadar tersenyum, sabar dengan kerenah anak muda yang sudah mereka temui berkali-kali. Cuma bagi aku yang "mudatua" ini, kata-kata itu mengguris hati kerana ia berlaku pertama kali. Jinakkan egomu..

Menghabiskan sebuah lagi buku dari Misbah Em Majidy, aku tidak pernah jemu menghadam kisah-kisah dan hadis yang dimuatkan dalam buku beliau. Walaupun semangat membaca tidak lagi seperti dulu, bacaan ringkas ini menemukan aku dengan pelbagai kisah menarik di zaman Rasulullah dan Sahabat. Kisah-kisah yang menajamkan kembali cermin sisi, bahawa apa yang sedang berlaku sebenarnya sudah pun pernah berlaku.



Kisah golongan ansar yang mem"persoal"kan tindakan Rasulullah memberikan harta Ghanimah dari peperangan Hunain kepada orang-orang mekah yang baru memeluk Islam, adalah sebuah kisah yang mahsyur kerana jawapan Rasulullah selepas itu. Namun yang menarik perhatian aku ialah bilamana orang-orang "lama" dalam kaum ansar memberitahu kepada Rasulullah, yang mempersoalkan tindakan Rasulullah itulah adalah orang-orang muda Ansar. Nabi tidak marah, tidak mengherdik anak-anak muda tersebut, tetapi menjinakkan hati-hati mereka..

Sesungguhnya aku telah mendengar rungutan-rungutan kamu. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, jika bukan kerana hijrah, tentu aku termasuk golongan Ansar. Jika para sahabat menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah yang lain, tentu aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu orang-orang Ansar..

Apakah di dalam hati kamu wahai kaum Ansar masih terdetik hasrat kepada dunia? Sedangkan dunia itu aku pergunakan untuk mengambil hati segolongan orang agar memeluk Islam. Sementara terhadap keislaman kamu, aku tidak lagi meragukannya. Wahai kaum Ansar, apakah di hati kalian tidak gembira jika mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kamu pula pulang bersama Rasulullah?"


Banyak lagi kisah/hadis menarik dalam buku ini. Secara jujurnya sangat-sangat berbaloi untuk dimiliki. Antara kisah lain yang cukup aku minat ialah kisah paderi najran yang berjumpa dengan Rasulullah. Dialog yang membezakan konsep tauhid antara kita dan mereka. Bacalah. Dan satu lagi hadis ialah hadis penuh dari kata-kata nabi yang famous dalam usrah "Aku rindu saudaraku..."

Maka, itu sahajalah setakat ni.

Sekian dari Syuib0809.


5 comments:

  1. gambar yg penuh nostalgia.. :)

    ReplyDelete
  2. Anonymos ada dalam gambo ni ke?

    ReplyDelete
  3. yup..n bru tau hg mngajar kat matrik penang, last jumpa kat jpn penang, ingatkn mgjar skolah lg

    ReplyDelete
  4. eh anis ye.. kejap je kat sekolah. tak sampai sebulan pun.

    ReplyDelete
  5. ooo..ok la tu, lain mgjr skolah ngan matrik, betul x?ntah mcm mana ak terjumpa blog hang ni..nasib laaa ye..teruskan menulis!!!

    ReplyDelete