Friday, 13 February 2015

Hari Dukacita

Bismillah

Baru beberapa minggu lepas menghabiskan buku dari sang murabbi ummah yang dicintai, tiba-tiba si dia sudah tiada. Perkhabaran yang hadir malam tadi, aku tidak punya emosi yang menebal kerana amat-amat keletihan. Terlintas mahu ke Kota Bharu, namun itu tidak mungkin tercapai dengan amanah kerja yang sedang digalas.

Selepas menyelesaikan tugasan untuk Headcount, aku meneroka media massa untuk mengikut perkembangan ulama' hebat ini. Entah dari mana datangnya molekul air, butiran-butiran kaca tumpah dari mata yang sedang membaca. Tumpahnya pula di pejabat. Monitor yang sebesar 21 inci berjaya melindungi wajah dari dilihat rakan pensyarah. Tidak pasti apa yang ditangisi.

Pulang ke rumah sedikit awal, aku menyambung pembacaan, mengikuti perkembangan di Pulau Melaka. Kehadiran puluhan ribu manusia sudah cukup menggambarkan betapa mulianya pandangan kepada Tuan Guru dari kaca mata penduduk bumi. Malah jutaan manusia menunaikan solat jenazah ghaib untuk beliau. Duduk berseorangan menatap pemergian Sang alim yang sangat-sangat zuhud kepada dunia, aku menangis seperti budak kecik. Sudah lama tidak mengalirkan air mata sederas itu, aku menuju ke Masjid Permatang Buluh dengan mata yang merah membengkak. Solat jenazah Ghaib bersama jemah-jemaah lain yang turut merasai kehilangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Hebatnya Tuan Guru, aku sendiri tidak tahu daripada mana mahu bercerita. Keindahan Akhlak yang sukar untuk dilihat pada para asatizah muda hari ini. Tawaduk, rendah hati yang terlampau sukar untuk dimiliki umat hari ini. Contoh teladan kepada umat Islam yang mahu berpolitik, namun masih sukar untuk orang politik mengikut jejak langkahnya. Menghabiskan seumur hidup memartabatkan Islam, beliau barangkali contoh ulama terbaik yang berjaya menterjemahkan isi Alquran dan assunnah dalam kehidupan masyarakat abad moden. Tidak tersekat ilmunya sekadar di meja penceramah, tetapi mengalir memandu masyarakat hidup berlandaskan Alquran.

Ya Allah,
Engkau sudah memanggil Hamba yang begitu mencintaiMu,
Sedang kami pula sangat-sangat mencintainya,
Maka berilah kami pengganti persis dirinya
Agar kami mampu mencintaiMu
Dengan kemuliaan sehebat cintanya.

Selamat berehat buah Hatiku..
Aku pasti merinduimu..

Sekian dari Syuib0809



No comments:

Post a Comment