Sunday, 22 February 2015

Jinakkan EGOMU

Bismillah.

Kembali kepada kehidupan biasa setelah beberapa hari dimeriahkan dengan kehadiran keluarga di kepala batas. Rumah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan fizikal, namun kosong dengan definisi keluarga. Sudah berumur sebegini, EGO sahaja yang menghalang aku daripada bekeluarga. Eh ada satu lagi, DUIT... Haha.

Sebagai orang yang pernah digelar "anti-perempuan" ketika di sekolah, aku secara jujurnya bukan orang yang mampu bersabar dengan perempuan. Apatah lagi menahan diri dari kata-kata "kasar" mereka. Memang benar kata-kata ini "orang lelaki mulutnya bercakap pada hati, tetapi wanita hatinya bercakap pada mulut". Sifat lelaki yang semulajadinya menganggap diri sebagai HERO, mana mungkin adiwira suka direndah-rendahkan dan dimarahi. Maka itu menjadi kerisauan pertama aku bila memikirkan bolehkah aku berumah tangga. Namun aturan tarbiyah dari Allah, aku hampir setiap hari dikelilingi kaum hawa di sini. Barangkali Tuhan mahu melembutkan ego yang ada dalam hati.

Rabu lepas, aku pulang sebentar ke rumah sebab nak kemas sikit(family nak mai). Terbuka TV9 yang sedang menyiarkan Tanyalah Ustazah. Aku kurang sikit dengar ceramah oleh para ustazah sebab sedikit rimas dalam hati. Ustazah paling aku suka dengar pun Ustazah NorHafizah Musa. Yang lain, pening tengok mekap-mekap dan bahasa yang memberontak mempertahankan hak wanita. Tapi tajuk "Isteri Gred A" yang dibawa oleh ustazah Ainun Mardhiah ni sangat-sangat menarik. Mencari di youtube, tapi tak jumpa, so aku kongsikan video di bawah ini yang turut bercerita mengenai ego seorang ayah(lelaki). Tengok balik, muka ustazah ni dah macam muka student aku, si Widad. Haha.




Membaca mengenai kenangan-kenangan manusia bersama Allahyarham TG Nik Abdul Aziz, aku cukup memandang tinggi bagaimana cara Tuan Guru melatih diri membuang ego dalam diri. Orang begitu tinggi ilmunya, tinggi kedudukannya sebagai pemerintah sebuah negeri, tiba-tiba punyai hati yang sangat-sangat rendah dan sifar sifat keegoan. Menarik bilamana orang-orang bercerita mengenai Tuan Guru yang membaiki bumbung rumah sendiri, membasuh tandas masjid, duduk mendengar orang muda beri pengisian, menolak tidur di atas katil dan baring di lantai supaya mudah bangun malam, serta bermacam-macam lagi perkara yang tak sanggup lagi kita lakukan kerana sifat ego dalam diri. Allahuakhbar.


"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (Luqman 31:18)

Mahu punyai hati yang bersih dari ego, sudah pasti memerlukan latihan berterusan dalam kehidupan seharian. Perkara-perkara yang kelihatan kecil, sebenarnya memberikan impak yang besar dalam hati. Perkara-perkara mudah seperti kemas meja/angkat pinggan selepas makan di restoran, itu sahaja sudah cukup melatih hati. Buang kata-kata nista dalam hati "aku ni pelanggan, patutnya orang kedailah yang kemas".. Nampak sampah yang besar kat tengah jalan, lalu kutip itupun dah memadai. Usah dilayan kata-kata rakan "Buat apa kau kutip, cleaner kan ada.. Nanti diorang makan gaji buta la"..

Berat mahu membuang sifat ego, apatah lagi jika tidak pernah berada di bawah.
Merasakan diri sentiasa betul, sedang ilmu belum mampu menyaingi para ulama'.
Malah kerana ego, sukar untuk diri menerima dan berterus terang.

Banyak sangat tengok drama gamaknya aku ni..



Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 17 February 2015

Masak-masak orang bujang 2015

Bismillah.

Lama aku tak menulis pasal masak dan makan. Sewaktu di UK, bukan main beriya semua benda nak tunjuk. Merindui makanan-makanan yang dimasak di sana, menyebabkan aku sangat-sangat mencari oven. Setelah hampir 5 bulan survey sana-sini, ternyata oven dekat sunshine ni yang paling murah. Punyalah lama menahan nafsu nak beli benda ni, akhirnya aku tewas gak. Tergila-gilakan oven besar, pembakar ketuhar  52 liter ni aku letak kat lantai je sebab kabinet dah tak muat. Tak sangka plak besar sangat.

Handphone nokia 1110 pula sudah dua hari meragam. Mungkin merajuk dengan kehadiran telefon pintar baru. Mahu menukar sim ke Iphone, tapi rasa sayang benar nak potong bagi kecil. Orang yang tahu aku ada phone baru tapi tiada whatsapp duk tanya apa faedah aku pakai Iphone? So, selain dengar lagu, alarm cock dan baca Quran, ini lagi satu manfaat benda ni.. Tangkap gambar..


Telefon yang pernah berkhidmat sepanjang hidup. biru tu paling lama. Dah nazak sekarang

Menjadi orang bujang ketika belajar, aku punya hobi memasak yang sungguh tidak maskulin. Terbawa-bawa ke dalam kehidupan bujang di alam pekerjaan, peralatan/perkakas dapur diantara perkara utama yang sedaya upaya aku lengkapkan bila masuk ke rumah ni. Melihat bajet, maka duit aku banyak duk habis kat masak, yang secara logiknya lebih mahal berbanding makan di luar (untuk bujang). Teringin nak masak western, so inilah hasilnya. Senang tapi banyak benda nak kena basuh...


Mutton yang dibakar dalam oven, dimakan bersama smash potato buatan sendiri dan salad. Bagi aku, buat sendiri kentang putar ni lagi sedap/berasa berbanding beli kat kedai. Ada gravy(blackpeper campur sup cendawan).. Kehebatan masakan ni banyak pada rasa daging dia. Tak bubuh gravy pun dah umphh.. Cuma malam susah sikit nak tido. Badan panas


Kat UK selalu masak ayam panggang, tapi tak pernah pulak nak tangkap gambar. Oleh kerana teringin nak makan ayam panggang dalam oven, aku buatlah kembali sama macam zaman bealajar dulu. Kentang pun bakar sekali. Cuma bezanya aku dah tak berjaya habiskan separuh ayam ni sekaligus macam zaman muda-muda dulu. Hehe.

Ni pulak adalah lamb. Nak tahu apa beza dengan mutton boleh search dekat google. Dimakan bersama smash potato dan sos yang dibancuh sendiri. Malas nak buat kuah blackpepper. Semua gambar nampak sama sebab menggunakan pinggan yang sama, diletak pada tempat yang sama dan menggunakan sudut yang hampir sama. Padahal ni 3 hari yang berbeza. Tapi kambing memang terbaik!

Abu Hurairah r.a. berkata:
Suatu ketika dihidangkan ke hadapan Rasulullah SAW semangkuk bubur dan daging. Maka beliau mengambil bahagian lengan (dari daging tersebut), dan bahagian itulah yang paling disenangi oleh Nabi Muhammad SAW.” (HR Muslim)

Post ni sekadar catatan diari. Maka usah ditanya manfaatnya kerana ia untuk imbasan memori pada masa akan datang.

Sekian dari syuib0809.

Friday, 13 February 2015

Hari Dukacita

Bismillah

Baru beberapa minggu lepas menghabiskan buku dari sang murabbi ummah yang dicintai, tiba-tiba si dia sudah tiada. Perkhabaran yang hadir malam tadi, aku tidak punya emosi yang menebal kerana amat-amat keletihan. Terlintas mahu ke Kota Bharu, namun itu tidak mungkin tercapai dengan amanah kerja yang sedang digalas.

Selepas menyelesaikan tugasan untuk Headcount, aku meneroka media massa untuk mengikut perkembangan ulama' hebat ini. Entah dari mana datangnya molekul air, butiran-butiran kaca tumpah dari mata yang sedang membaca. Tumpahnya pula di pejabat. Monitor yang sebesar 21 inci berjaya melindungi wajah dari dilihat rakan pensyarah. Tidak pasti apa yang ditangisi.

Pulang ke rumah sedikit awal, aku menyambung pembacaan, mengikuti perkembangan di Pulau Melaka. Kehadiran puluhan ribu manusia sudah cukup menggambarkan betapa mulianya pandangan kepada Tuan Guru dari kaca mata penduduk bumi. Malah jutaan manusia menunaikan solat jenazah ghaib untuk beliau. Duduk berseorangan menatap pemergian Sang alim yang sangat-sangat zuhud kepada dunia, aku menangis seperti budak kecik. Sudah lama tidak mengalirkan air mata sederas itu, aku menuju ke Masjid Permatang Buluh dengan mata yang merah membengkak. Solat jenazah Ghaib bersama jemah-jemaah lain yang turut merasai kehilangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Hebatnya Tuan Guru, aku sendiri tidak tahu daripada mana mahu bercerita. Keindahan Akhlak yang sukar untuk dilihat pada para asatizah muda hari ini. Tawaduk, rendah hati yang terlampau sukar untuk dimiliki umat hari ini. Contoh teladan kepada umat Islam yang mahu berpolitik, namun masih sukar untuk orang politik mengikut jejak langkahnya. Menghabiskan seumur hidup memartabatkan Islam, beliau barangkali contoh ulama terbaik yang berjaya menterjemahkan isi Alquran dan assunnah dalam kehidupan masyarakat abad moden. Tidak tersekat ilmunya sekadar di meja penceramah, tetapi mengalir memandu masyarakat hidup berlandaskan Alquran.

Ya Allah,
Engkau sudah memanggil Hamba yang begitu mencintaiMu,
Sedang kami pula sangat-sangat mencintainya,
Maka berilah kami pengganti persis dirinya
Agar kami mampu mencintaiMu
Dengan kemuliaan sehebat cintanya.

Selamat berehat buah Hatiku..
Aku pasti merinduimu..

Sekian dari Syuib0809



Friday, 6 February 2015

Whatsapp: Racun yang Diraikan

Bismillah

Lama benar mahu menulis mengenai ini. Namun selalu tertangguh.. Cuti yang masih berbaki beberapa hari, tiba-tiba aku sudah pun pulang ke kolej. Tak tahu kenapa, dah sampai sini tetiba menyesal. Aduiih..

Feb 2012, aku seorang remaja yang mengejar teknologi. Saat Malaysia masih belum menerima whatsapp dengan baik, aku dan rakan-rakan di UK sudahpun menggunakan aplikasi tersebut dan juga viber. Cuma aku sendiri kurang pasti bagaimana viber di Malaysia. Yang pastinya, whatsapp memang sangat-sangat popular sekarang ni. Masih teringat group whatsapp yang pertama kali dibuat sesama ahli usrah, memang seronok. Ditambah aku yang duduk agak jauh berbanding ahli lain, maka mengikuti perkembangan dan bersembang dengan mereka terasa mereka begitu dekat dengan diri. Pulang ke Malaysia Julai 2012, tiada lagi whatsapp dalam hidup. Aku sendiri menyedari, malaysia masih belum sepenuhnya menerima whatsapp di awal 2013.

Menjadi pembantu tukang masak di program terakhir 2012. Gambar terakhir yang dikongsikan dalam whatsapp

Di hujung 2013, semua orang mula tergila-gilakan whatsapp. Tiada whatsapp menjadi sesuatu yang sangat-sangat "alien". Aku yang "pernah" menggunakan whatsapp pula merasakan ia menjadi racun yang sangat membinasakan... Lalu aku berazam untuk menjauhinya...

Teringat meeting unit matematik tahun lepas. Bila unit nak minta seorang penceramah pakar soalan HOT, masalah utama yang diutarakan ialah bayaran yang mahal. Betapa dahsyatnya dunia hari ini bilamana orang-orang bijak pandai menyekat ilmu mereka berdasarkan bayaran. Para alim ulama disekat menyampaikan ilmu dengan tauliah bagai. Ilmu-ilmu yang sahih pula tersekat kerana malasnya manusia membayar harga buku. Lalu, orang-orang yang jahil sewenang-wenangnya berkongsi "ilmu" di medan whatsapp. Yang "BENAR" bukan dinilai dari ketulenan faktanya, tetapi dari keenakan bahasanya. Mesej whatsapp yang kelihatan menarik, itulah yang disebarkan.. Akhirnya, ilmu-ilmu semakin tersorok, yang berkeliaran di minda remaja hanyalah mainan BAHASA.

Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh(bodoh) yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad

Aku banyak menyimpulkan bahana whatsapp daripada anak-anak pelajar yang ada di sini. Kadang-kadang sedikit kecewa, bilamana sebaik sahaja habis solat jemaah, whatsapp menjadi perkara pertama yang diterjah. Tengah jalan duk baca whatsapp, time makan baca whatsapp, tengah rehat baca whatsapp, tengah sembang pun boleh leka dengan whatsapp. Yang secara sinis aku boleh katakan diorang ini sangat suka mem"baca". Namun bacaan mereka begitu menakutkan. Bacaan yang tidak punya sebarang faedah, yang tidak punya nilai ilmu, yang penuh dengan gosip dan ketidakpuashatian kepada orang lain. Hinggakan mereka "terpaksa" membaca sesuatu yang tidak perlu, dan mengorbankan masa dari membaca apa yang mereka perlu. Membaca karangan " aku makan maggi, bla3x.. Cikgu tu bajet hensem, keh3x.. Kerja biologi susah giler, tut3x.." aku tidak pasti dimana faedahnya.

Ketika menguruskan pasukan bola tampar, ada beberapa kejadian pelik yang tiba-tiba berlaku di gelanggang. Bila aku tanya kenapa, aku diberitahu yang diorang ni duk bergaduh kat group whatsapp. Automatik keluar dari mulut aku "what the......" Tak pernah-pernah gaduh dekat gelanggang tiba-tiba gaduh kat alam maya. Ingatkan budak lagho je, rupa-rupanya group yang "beragama" pun duk gaduh juga. Sebagaimana, manusia boleh kelihatan alim di alam maya, manusia juga boleh berubah perwatakan mereka berbanding di alam realiti. Manusia yang tak pernah marah depan orang, tiba-tiba boleh mengamuk di whatsapp. Punyelah senyap dalam meeting, tetiba bising dalam perbincangan di laman sosial. Depan-depan semua okey, kat whatsapp semua perkara tak puas hati. Lalu, aku melihat kehebatan whatsapp yang memberanikan individu untuk berkata-berkata. Kata-kata yang datang ketika ditemani hawa nafsu dan syaitan. Memudaratkan dan memutuskan ukhwah.


 

Aku tidak sedikit pun menolak kelebihan-kelebihan whatsapp dalam menyampaikan maklumat dan mengeratkan hubungan. Cuma kelebihan-kelebihan ini sedikit demi sedikit semakin menjadi duri yang membinasakan. Ketika di zaman kolej, antara sebab utama aku ke surau ialah untuk bertemu dengan kawan-kawan. Nak sampaikan atau kongsi sesuatu mesti perlu bertentang mata dengan kawan-kawan. Maka pertemuan yang biasanya singkat itu cuba dimanfaatkan sebaik-baiknya. Namun kini, segala-galanya dikongsikan di whatsapp. Tak pelu bertemu, whatsapp sudah mencukupi untuk memberitahu segala yang perlu dan tidak perlu. Malah yang lebih menyakitkan hati, pertemuan yang diadakan dengan rakan-rakan mahupun ahli keluarga di depan mata tidak dihargai, sibuk "bertemu" dengan orang lain di whatsapp. Tidak hairanlah makan malam, reunion, hari keluarga, hari raya, masing-masing sibuk dengan henpon di tangan. Pedih..



Daripada Abu Hurairah Radiaallahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;
“Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”


Menongkah arus, aku sendiri tidak pasti ianya tindakan yang tepat atau tidak. Seperti mana aku bebas untuk tidak bersetuju dengan rakan-rakan mengenai whatsapp, maka kalian juga punya hak untuk tidak bersetuju dengan pandangan ini. Dan pastinya, mesti ramai yang tidak bersetuju. Zaman fitnah yang semakin hampir, maka aplikasi-aplikasi sosial sebegini meraikan lagi kedatangannya. Jika dahulu para ulama' begitu tegas dalam disiplin ilmu memastikan kesahihan pelbagai perkara, hari ini ia begitu longgar. Sudah dikira sahih bila di akhir mesej tertulis "sahih dari rakan yang berada di tempat kejadian.." Apakah?? .. "mohon sebarkan.. Adik mangsa sendiri yang maklum petang tadi.." macam tu je?

Aku tidak pasti sampai bila aku boleh bertegas dengan diri. Rakan-rakan sudah beribu kali mengajak. Jemaah sudah acapkali menegur. Ahli Keluarga sudah puas memujuk. Dan terbaru, ketua unit seakan-akan memberikan arahan untuk aku adakan whatsapp. Namun aku masih berdegil..

Barangkali menunggu fenomena whatsapp reda sikit kot. Maaf..

 Pemergian seorang lagi sahabat baik, merangkap jiran di kmpp. Makin sunyi gamaknya. Shah sambung belajar di Manchester.

Sekian dari Syuib0809

Sunday, 1 February 2015

Buku Januari 2015

Bismillah.

Mempunyai ulama'-ulama' hebat di Malaysia merupakan satu rahmat yang besar dari Allah. Sedikit kecewa bila orang-orang alim sebegini kerap difitnah dan tidak dihormati oleh umat islam sendiri. Kembali membaca cebisan dari kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dihimpunkan dalam buku Hentian Terakhir. Mahu Men"curi" buku Bertemu Janji Allah, namun khuatir boleh ke menghabiskan buku setebal itu dengan keadaan diri yang semakin kurang motivasi diri. Maka, buku kecil ini dihadamkan terlebih dahulu. Ringkas, tetapi punya "roh" yang sangat mantop. Itu kehebatan beliau barangkali.

Banyak menceritakan mengenai hari kiamat dan Alam akhirat. Nama-nama yang begitu pelbagai melambangkan betapa dahsyatnya HARI tersebut. Menarik bagaimana tuan guru gambarkan hari-hari tersebut. Hari yang buat pertama kalinya manusia tidak memikirkan perkara lain, melainkan diri mereka sendiri. Sayang macam mana pun dengan anak dan isteri, hilang mereka dari minda bila mana memikirkan nasib diri yang akhirnya bertemu Janji Allah. Dalam keadaan manusia berbogel, tiada siapa pun yang berminat untuk melihat kerana gerunnya dengan hari pembalasan tersebut. Hati bertambah gerun, bilamana Allah tidak lansung berkata apa-apa. 

Hari itu, ahli neraka menjerit dan meraung memberitahu kepada para makhluk betapa dahsyatnya seksaan neraka. Manakala ahli syurga begitu teruja memberitahu betapa hebatnya nikmat Alllah setelah mereka bertubi-tubi di ejek oleh manusia yang kufur ketika di dunia. Sebab itu, hari itu juga dikenali sebagai hari "menyeru", yang mana ahli syurga dan ahli neraka saling "memberitahu" antara satu sama lain. Menggambarkan perjalanan alam Akhirat sesuatu yang mustahil. Pertama kali sebenarnya aku mendengar rupa-rupanya Allah akan menghisab Jin dan Manusia secara serentak. Manusia tidak dapat memikirkan keadaan sebegitu, kerana tiada lagi ukuran masa seperti di dunia. Hebat kuasa Allah.

Aku agak suka ayat ni: Orang kafir semakin terseksa kerana ketika itu, Allah sudah me"mati"kan mati.

Aku, muslim dan Britain..

Waktu pusing-pusing kedai buku Adam, ternampak buku hasil penulisan seorang Junior yang agak rapat jugak la. (time ni baru nak mengaku kan..). Suka baca buku rakan-rakan, mahu melihat apa yang mereka ingin sampaikan. Membaca hasil penulisan, menyebabkan kita mampu mengenali penulisnya. Tapi kalau dah kenal, adakah ia serupa dengan gambaran kita di alam realiti?

  

Secara keseluruhan, buku ini menceritakan mengenai kehidupan mahasiswa ISLAM malaysia di luar negara. Buku yang aku boleh baca laju sebab isinya hampir sama dengan apa yang aku dan rakan-rakan pernah lalui. Namun untuk pembaca remaja, buku ini sangat menarik sebab terselitnya beberapa kejutan budaya yang mungkin tidak pernah dilalui ketika di Malaysia. Cuma sesuatu yang menarik di awal buku ni ialah bila si Adin mempersoalkan kenapa begitu mudah kita memikirkan cita-cita ketika di zaman kanak-kanak? Tetapi semakin sukar menjawapnya bila kita menginjak dewasa. Persoalan yang turut aku kongsikan ketika menjadi ahli panel dalam forum LAMEGA. 

Secara keseluruhan, buku ini sangat menarik untuk dibaca terutamanya oleh remaja-remaja yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara. Amat sesuai juga sebagai ilmu tambahan yang merubah paradigma terhadap suasana "kafir" di luar negara. Di hujung buku ini ada sedikit mengenai cinta dan rumahtangga, ni lah Adin, haha.. Mengenali penulis dan merasai sendiri pengalaman penulis, ada sahaja beberapa perkara yang mungkin aku kurang setuju. Namun, aku kira tiada manfaat yang besar untuk menyatakan perbezaan pendapat di sini.

Tahniah utnuk buku yang pertama.. Teruskan menulis..

Ni time diorang first year..
Sekian dari Syuib0809.