Bismillah.
Alkisahnya dua minggu lepas, phone buat hal. Rosak ketika kursus. Screen keluar bahasa cina berlatarkan hitam. Tak boleh restart. Puas tekan butang. Selepas 3 jam akhirnya dia mati sendiri. Bila dihidupkan, habis semua benda hilang. Gambar memang jadi kosong terus. 70 peratus contact dan seluruh mesej juga hilang. Mengharapkan whatsapp ada buat backup di google drive, tetapi satu pun tiada. Phone ini sudah lama tidak "dibersihkan".. Akhirnya ia bersih dengan sendirinya. Semua kenangan-kenangan itu perlu aku lepaskan. Sudah terlampau banyak. Hanya yang penting, aku simpan di blog ini. Biar kurang kecewanya.
MEMORI.
Beberapa minggu ini, program MEMORI memulakan perancangan. Aku secara jujurnya berpendapat batch ini belum bersedia untuk buat program besar tersebut. Bukan kerana mereka bermasalah, tetapi mereka belum punya program-program kecil yang baik sebagai latihan. Malah, kekurangan tenaga kerja yang betul-betul taat dan komited, bakal menyebabkan keadaan sangat-sangat mencabar. Dan aku sedikit kecewa dengan "kesatuan" mereka bila ada program. Tak ramai yang turun hatta yang kononnya hardcore. Risau di penghujungnya, hanya orang sama sahaja yang penat.
Oleh kerana itu, berbanding memansuhkan memori, aku mencadangkan program memori dikecilkan. Kelebihannya ialah orang-orang komited boleh fokus menjayakan event kecil, dan kurang konflik untuk melayan lantikan-lantikan yang belum teruji. Ideanya, MEMORI dikumpulkan pada hari sabtu dan ahad sahaja. Majlis perasmian dibuat pada pagi ekspo. Tengah hari di pentas utama(dataran) buat forum, sketsa dan pertandingan nasyid ala2 peskon. Malam konsert. Ahad pagi Radhatul Iman dan beberapa majlis penyampaian hadiah. Dengan bajet yang terlalu sedikit, dan keadaan kewangan ANC yang agak kurang stabil, aku berpendapat ia lebih ekonomikal.
Maka aku memberi dua pilihan kepada ANC. Kecilkan MEMORI, dan aku akan bantu. Atau teruskan dengan MEMORI yang memakan masa 5 hari, tetapi aku boikot.
Hasil syura mereka, mereka memilih pilihan kedua.
Maka aku perlu tunaikan janji. Jika tidak sampai bila2 pun manusia tak percaya. Pepatah melayu itu tinggi natijahnya. "Kerbau di pegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya...".
Lepaskan.
Tiga tahun ini, aku merancang melepaskan ANC perlahan-lahan. Tidak terikat, itu kuncinya. Kalau dulu aku memegang kunci-kunci penting, semua kunci-kunci itu sudah aku lepaskan kepada mereka. Jika dulu apa sahaja barang yang diperlukan, mereka perlu pinjam dan minta izin aku. Tetapi tahun lepas, aku sudah "menjual" hampir 80 peratus barang-barang aku kepada mereka. Maka aset-aset mereka sudah tersangat lengkap. Mereka bebas untuk menggunakannya bila-bila masa sahaja. Malah barang yang masih milik aku, majoritinya sudah aku pindahkan ke rumah luar.
Dan pertama kalinya tahun ini, aku membiarkan mereka sendiri menguruskan duit-duit mereka. Jika dulu, aku yang menyimpan sebahagiannya. Mencari setiap sen yang tercicir. Juga membuat audit dari sumber-sumber kewangan ANC. Namun tahun ini, duit warisan sesi lepas aku serahkan pada Hannan untuk pegang. Duit yuran ANC pada Zulfa. Dan duit hasil jualan lajnah tugasan khas semua pada Aisyah Masturah. Satu pun aku tidak usik. Biar aku, tidak punya apa untuk mengugut. Kerana bila kau tidak punya apa-apa untuk mengugut, ia penanda terbaik engkau sudah tidak punya fungsi.
Berita Baik.
Sebelum semester 1 tamat tempoh hari, aku sempat berjumpa dengan KJPP baru. 45 minit berada dalam biliknya. Tujuan murni, agar semua yang bengkok diluruskan, yang samar menjadi terang. Agar fitnah berhenti melata dan urusan-urusan dakwah di sini berjalan lancar. Tidak aku sangka, pertemuan tersebut berjalan dengan sangat positif, malah sokongan beliau kepada ANC lebih dahsyat dari mana KJPP yang aku jumpa. Cuma menariknya di penghujung pertemuan, aku bertanya soalan luar biasa, agar segala perkara selesai di sana.
"Tuan ada terasa(kecil hati) dengan saya ke? Risau plak saya...."
Pertanyaan itu aku tanyakan dengan nada sangat baik, setelah melihat sokongan yang diberikannya pada ANC. Dia kemudian membalas dengan baik:
"Takdelah... Saya pun nak minta maaf. Takde nak terasa2 dah, dah nak mati dah pun..."
Jujur, jawapan ringkasnya menyebabkan hubungan kami bertambah baik. Tiada lagi kata buruk yang tersebar. Malah, beliau mula mengangkat ANC dengan tingginya. Hari ini, buat pertama kalinya dalam lima tahun, agenda memori dibincangkan panjang lebar di mesyuarat pusat islam. Lebih menariknya mesyuarat ini, ia dihadiri wakil-wakil ANC. Sepanjang mesyuarat aku hanya senyap. Membiarkan ANC sendiri yang jawap. Alangkah seronoknya bila KJPP sendiri menaikkan bajet MEMORI berbanding apa yang diminta oleh ANC, dan beliau sendiri mencadang dan membenarkan ANC membuat kutipan untuk pembiayaan Memori, MashaAllah.
Dan aku sendiri sangat gembira, bila Haji Zamri menjadi penyelaras Memori tahun ini. Beliau orang yang sangat hebat dan punya pengaruh besar. Maka aku yakin beliau akan membawa memori ke level yang lebih tinggi. Dan kak hartini pun sudi bantu. Cuma aku, terikat pada janji. Dan semua orang pernah menjadi saksi, aku sangat memenuhi janji.
Sekian dari Syuib0809.
No comments:
Post a Comment