Wednesday, 30 September 2015

Studentku Si Pemalu Akhir... (2/2) TAMAT

Bismillah...

Jerebu yang semakin menjadi musim, aku tidak pernah merasa "sesak" seperti ini. Melihat status-status di alam maya, kadangkala tangan tergatal mahu menulis mesej kepada seseorang.

"f**** tahu apa beza f**** dengan jerebu? Jerebu masuk dalam mata saya, tapi f**** masuk dalam hati saya..." ceewah

"Musim jerebu ni, mungkin  F****  susah nak nampak jalan.  Tapi saya yakin,  f**** akan nampak betapa ikhlasnya cinta saya pada f****..." kahkahkah. Ini semua Nawal punya fasal.

Mesej-mesej "lagho" ini tidak mungkin boleh dikirimkan kepadanya. Apatah lagi tanpa sebarang komitmen, agama sudah sangat pasti melarangnya. Cerpen mustahil ini sudah begitu hampir pada penamatnya.


Panggilan yang sudah masuk beberapa kali, namun aku kerap beralasan...

Bukan niat mahu menipu, tetapi hati berdegil mencari penyelesain kepada masalah yang sudah pun tersimpul mati.

"tu lah... patutla mak cik rasa cikgu lain macam je kebelakangan ni..." panggilan itu dimulakan dengan sebuah pengakuan. Naluri keibuannya begitu kuat. Dengan mudah mak cik Fatimah sudah mampu meneka apa yang terjadi.

"maafkan saya mak cik..." itu sahaja yang mampu aku ucapkan berulang kali.

"dah mak cikgu tak setuju, nak buat macam mana. Nak kahwin ni bukannya untuk sehari dua je. Redho mak ayah cikgu tu penting.... Takpela, mungkin dah memang bukan jodoh cikgu dengan anak mak cik...." nasihat ibu gadis pemalu itu menambah hormat aku pada dirinya. Saat semua ibu tidak mampu bersetuju dengan drama ini, beliau sedaya upaya melihat dari sudut yang berbeza. Aku tahu dirinya sedikit marah dan kecewa. Namun marahnya tidak sedikitpun mengguris hati aku.

Perbualan terakhir kami itu berlansung agak lama. Hajat mahu bertemu dengan ibu gadis pemalu itu tidak kesampaian. Suara tanpa wajah. Namun aku pasti wajah si ibu itu penuh dengan sifat kasih dalam dirinya.

  Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang, Sayangilah orang yang dibumi niscaya kamu akan disayangi oleh Yang di langit.

Sejak panggilan terakhir tersebut, hubungan dengan ibu dan si anak itu seperti terputus buat selama-lamanya. Tiada apa yang berani aku lakukan lagi, kerana kekecewaan itu datang disaat harapan semakin menghampiri puncaknya. Luka itu terlalu besar. Bukan pada mereka sahaja, diri sendiri turut merasai kepedihannya di hati.

Aku hadir ke kursus perkahwinan seorang diri tanpa "pasangan". Kehadiran Bayern dalam kursus tersebut menjadi teman pemecah sunyi. Lisa yang sudah pernah mengikuti kursus kahwin ketika di Ireland, tidak turut serta menemani Bayern. Kursus tersebut berlansung selama dua hari. Kadangkala, aku memberanikan diri bersembang dengan peserta-peserta lain. Latar belakang mereka sememangnya berbeza, namun soalan mereka kerapkali sama.

"bila akad nikahnya?..."

"bakal isteri orang mana?..."

Aku hanya tersenyum...

"takde bakal isteri lagi, saja datang kursus ni nak belajar something..." soalan mereka itu aku jawap dengan tenang, walaupun hati sejujurnya sedikit hampa.

Teringat pesan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kita selalu kecewa bukan kerana apa yang sedang berlaku, tetapi kerana apa yang kita harapkan itu tidak berlaku..."

"Wahai Anakku, bersabarlah dengan apa yang sedang menimpamu, kerana ujian itu untuk Allah mengangkat darjatmu dan mengampunkan dosa-dosamu. Tangisilah dosa-dosamu di dunia ini, kerana itu lebih mudah bagimu daripada menangisi pedihnya azab Tuhanmu di akhirat..."

Penghujung kisah ini tidak mampu untuk aku tangisi. Drama-drama yang ditutup dengan istilah Happy Ending, jarang benar berlaku di alam realiti. Mesej terakhir pada studentKu Si Pemalu itu cuba aku ingat sebaik mungkin. Sedang nombornya sudahpun terdelete buat selama-lamanya.

"Fatin punya ibu yang sangat-sangat Hebat. Kelak, kalau Fatin berselisih faham dengan ibu, sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menangkan ibu. Percayalah, ibu Fatin sentiasa fikir yang terbaik untuk Fatin. Saya secara jujurnya dah terlalu letih untuk mencari si "dia", biarlah saya berehat dahulu. Sepanjang tempoh rehat ini, saya harap Fatin izinkan saya simpan sebentar wajah fatin dalam hati... Sekali lagi, Maaf untuk segala-galanya...."

Itu mesej terakhir yang menutup kisah kami. Di mana dia berada kini, aku sendiri belum benar-benar pasti. Gambar kad matriknya bertudung biru seolah-olah masih bersisa, sebelum perihal dirinya didelete sepenuhnya.

Kisah duka penutup bicara, studentKu Si Pemalu itu tidak sempat menjadi penulis keduanya.

Simpanlah malu itu anak gadis..

Ia pasti menjagamu.

TAMAT

Bercintalah anak muda
Namun jangan leka dan alpa dengan cinta
Dunia ini tidak lebih dari mainan dan gurau senda
Cintamu kepada manusia selalu hampa
Kerna kamu rasa yang dicintai itu jodohmu
Sedangkan ketentuan Allah adalah kebaikan buatmu
Teruskan hidup
Moga terbentang jalan ke syurga buat kita




Sekian dari Syuib0809.

Thursday, 24 September 2015

StudentKu si Pemalu Akhir... Bhagian 1/2

Bismillah.

Hadiah buat pembaca sempena raya haji. Asyik tulis pasal benda serius je kan. Cuma penulisan kali ini bakal menutup kisah ini sepenuhnya. Bermula dengan pensyarah gatal, Studentku Si pemalu, SSP Raya dan ini adalah pengakhirannya. Berikut "lagu tema" yang dipilih untuk episod terakhir ni. Selamat membaca.





"Takziah Ainun. Doa banyak2. Hidup bersungguh-sungguh dengan iman. Mudah-mudahan semua yang kamu buat sepanjang hidup mengalirkan pahala untuk ayah kamu..."

Mesej ringkas aku kirimkan pada gadis pintar itu sebaik sahaja mendapat perkhabaran dari Husna. Si Ayah yang bertemu Pemilik buat selama-lamanya, bukan menjadi noktah untuk anak terus berjasa. Masih ada yang boleh dikirimkan.



Terasa baru benar bertemu dengan Ainun dan rakan-rakannya. Saat jamuan raya kolej berlansung, mereka datang bertandang, menziarah bekas pensyarah mereka yang nakal ini. Aku bergurau dengan titipan sebuah rancangan..

"Hangpa tak pi beraya rumah F**** ke?"

"Kalo pergi, saya nak ikut sekali... Nak pergi sorang-sorang, segan la plak. Lagipun saya tak tahu jalan."

"Bukan cikgu dah tahu ke alamat rumah dia?..." Si Najwa yang menjadi pembaca tegar blog ini "berlagak" serba tahu.

"Alamat memanglah saya tahu, tapi mana saya biasa jalan Alor Setaq tu. Saya pernah pi sekali je. Hangpa pakat-pakatlah pi beraya rumah dia. Kita decide tarikh. InshaAllah barang siapa yang menolong gurunya akan beroleh keberkatan ilmu... Hehe.." aku dengan selambanya menggunakan dalil agama demi kepentingan peribadi.

Kelibat gadis pemalu itu lansung tidak kelihatan. Hati merintih mahu melihatnya. Aku menyangka, dia tidak turut serta dalam rombongan Ainun dan rakan-rakan. Sangkaan itu seolah-olah di"iya"kan oleh Salwa dan Hajar yang turut hadir mengelilingi meja pejabat tengah hari tu.

Pulang sebentar ke rumah untuk mengemas diri(solat jumaat), mesej dari mak cik Fatimah tiba-tiba muncul di skrin telefon pintar.

"Assalamualaikum cikgu. Hari ni F**** pergi kolej nak join sambutan raya. Cikgu ada nampak dia ke?"

"Wsalam mak cik. Takdelah plak nampak dia. Kawan-kawan dia lain adelah mai jumpa saya tadi..." aku membalas ringkas.

"Dia datang dengan Ainun dan kawan-kawan. Makcik rasa dia menyorok lah tu kot. F**** tak bagi makcik bagitau cikgu..." aku tergelak kecil membaca mesej "lucu" tersebut. Berbual dengan makcik Fatimah selalu benar menghiburkan hati. Kadangkala  keterujaan mahu menjadi menantunya melebihi kemahuan untuk menjadi suami kepada anaknya. Beruntung badan punya ibu mertua seperti itu. Menonton drama-drama yang kerap mempamerkan hubungan "dingin" antara si menantu dan mertua menyebabkan aku sedikit fobia untuk mendirikan rumah tangga.



Petang jumaat itu, majlis jamuan raya kolej berlansung dengan agak meriah. Dalam keriuhan tersebut, bola mata ligat mencari kelibat gadis pemalu itu. Mata yang tidak berjumpa jasadnya, aku berehat sebentar di khemah milik seorang bekas pelajar SEMESTI bernama Nazirul. Bersembang sebentar dengannya, entah kenapa hati terasa sesuatu.


"MashaAllah...." hitam putih mata berjaya menemui pencuri hatinya. Gadis pemalu itu betul-betul berada di depan khemah tersebut.

Jubah biru hitam yang disarungnya sungguh menawan. Buat pertama kali, si cikgu pula yang berasa malu mahu menegur pelajarnya. Menahan pandangan melihat gadis cantik seperti itu, aku tiba-tiba melarikan diri ke khemah lain.

Setiap gerak-geri si pemalu itu  seperti magnet yang menarik hati. 

Ainun dan rakan-rakan tidak lama di jamuan raya itu. Saat mereka bergambar bersama-sama di pagar kolej, aku sempat memerhatikan dari jauh dengan lemang di mulut. Itu kali terakhir aku melihat mereka...

Setelah beberapa ketika, aku mencapai smartphone dari poket.

"cantik f**** pakai baju biru tadi. Next time, jangan menyorok lagi ye... Hehe" entah bagaimana diri begitu berani menulis mesej "tak malu" seperti itu. Mungkin benar nukilan dulu-dulu:

Cinta sejati nilainya hebat
Mengubah si nakal menjadi puitis
Merubah si pemalu menjadi berani
Biar pasti cinta ditolak
Namun masih terukir senyuman dibibir
Kerna cinta kuatnya pada memberi
 
Rapuhnya dek asyik menerima.



"Assalamualaikum cikgu, ni Salwa ni !" panggilan telefon itu muncul tatkala aku kembali semula ke kawasan dataran. Majlis Jamuan raya yang sudah selesai, harus ada yang memantau untuk proses mengemas yang merimaskan.

"Waalaikumsalam. ye ye Salwa..ada kat mana?"

"kami dah balik dah cikgu... Cikgu.... nak tanya ni!!!" riuh suara manusia di sebalik panggilannya cukup jelas kedengaran. Aku kira itu suara rakan-rakannya yang turut hadir petang tadi.

"cikgu, cikgu betul ke nak dengan F**** ni... Cikgu dah istikharah ke?". Salwa yang dulunya tidak pernah berminat, tiba-tiba menjadi wartawan "segera". Aku hampir pasti, gadis pemalu itu juga turut ada bersama mereka.

"eh.. Eh kamu ni...saya memang comfirm dah... terpulang pada dia je sekarang ni" jawapan ringkas itu seperti disambut gelak ketawa. Barangkali mereka yang satu kereta dengan Salwa turut mendengar perbualan kami. Entah mengapa, panggilan itu terputus begitu sahaja.

Aku terlupa mengucapkan InshaAllah.

Kepastian yang diberikan dengan bicara "comfirm" itu akhirnya teruji...

Ujian yang sudah diramal sebelum kisah ini bermula...

Bersambung...

"Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: "Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi, kecuali (dengan menyebut): "Insya Allah." Dan ingatlah kepada Rabbmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah-mudahan Rabbku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini." (QS.Al-Kahfi:23-24)


Sekian dari Syuib0809

Sunday, 20 September 2015

Negriku ini

Bismillah

Negriku ini ada ulama'
Saat Dunia menyantun
Orang di sini memandang sepi.
Permata dan kaca menyilau mata
Apakah benar sukar dibeza?

Negriku ini ada ulama'
Saat Dunia mencemburui ilmunya
Orang di sini tiada peduli.

Hodoh hati, sombong diri
Keldai yang berlagak tahu
Masakan sama dengan tuannya

Negriku ini ada ulama'
Saat dunia simpuh merapati
Orang di sini laju menjauhi
Yang benar tercoret salah
Yang salah dimomok benar
Apa penyakitmu sahabat?
Hingga lari kamu dari janji

Negriku ini ada  ulama'
Saat dunia acapkali membenarkan
Orang di sini rancak mendusta.
Cacian dan makian tiada sunyi
Musuh sendiri dipuji-puji
Hadith terbaca seolah basi



Negriku ini nakhoda ulama'
Saat dunia mahu sekapal dengannya
Orang di sini sibuk berkapal baru,
Nakhoda palsu, memecut laju
Mahu menyaing pewaris nabi.
Kemana pergi?

Negri ini ada ulama'
Dan aku pasti mendampinginya
Saat rakan menjual kelabu
Aku setia dengan jemaah yang satu
Biar kalah dengan ilmu
Usah menang dengan menipu

Istiqamahlah...
Hingga kemenangan menjemputmu..

...

Sekian dari Syuib0809

Sunday, 13 September 2015

Orang suruhan

Bismillah.

Mahu menulis benda lain, namun beberapa mesej dari sahabat lama menyebabkan aku "tertulis benda ni. Ilmu yang cetek, aku sedaya upaya mengelak menulis bacaan "serius" seperti ini. Mohon maaf sekiranya ada kesilapan.


.......

Membelek-belek sebuah buku yang sangat ringkas. Tak sampai 3 hari baca, dah habis. Himpunan hadiths-hadiths shahih tatkala nabi bercerita. Seringkas-ringkas buku ini, masih ada sesuatu yang "mengejutkan" hati. Tersedar, semakin banyak membaca hadiths, semakin banyak rupaya hadiths-hadiths yang diri tak pernah jumpa. Kisah-kisah "ceria" dan "lembut" yang dipenuhkan dalam usrah-usrah asas, hingga kelihatan zaman Nabi dan para sahabat itu sungguh "manis". Kerana "mata" tertutup dari kisah duka, hitam, kejam yang hakikatnya turut menghiasi perjuangan Nabi dan Para Sahabat. Aku menjumpai "nya" dalam buku ini.


Ada masa Nabi lembut dengan orang kafir, ada masanya nabi sangat-sangat keras dengan mereka.

Banyak masa para sahabat sangat-sangat hebat ukhwahnya, ada masanya mereka juga berkelahi dan berkecil hati sesama mereka.

Selalu sahaja para sahabat sangat mudah berkorban untuk Islam, ada masanya mereka berat menuju ke medan perang.

Kerapkali para sahabat bersetuju dengan Rasulullah, namun pernah beberapa ketika mereka "kecewa" dengan keputusan Rasululllah.

Semua ini bukan menunjukkan kelemahan mereka, jauh lagi mahu memaparkan keburukan mereka. Tetapi Allah mahu beritahu kepada kita, para sahabat juga manusia, manusia yang sehingga tamat hayat bumi ini tetap kekal sebagai manusia.

Membaca kisah-kisah dan juga hadiths, kadang-kadang banyak perkara yang "akal" tidak bersetuju, ataupun mengeluarkan keluhan spontan "takkanlah...."

Dan tatkala semua itu berlaku juga di zaman modern, kisah musa dan khidir selalu menyejukkan semula hati. Marahnya musa kepada perbuatan "jahat" khidir, kerana ilmu mereka berbeda. Teguran Allah tentang ilmu, agar manusia tunduk.

Barua.

Perkataan "barua" itu terkeluar tatkala marahnya ulama' terhadap sebuah pengkhianatan. Saat jemaah setia dengan kebenaran, ada insan yang menjadi "orang suruhan" kepada komplot sebuah fitnah. Fitnah yang terbukti jahat setelah berlalu sekian lama, akhirnya membuktikan ulama' berada di pihak yang benar. Namun manusia masih mengkeji ulama' itu. Hanya kerana tidak bersetuju pengkhianat dipanggil "barua".

Membaca sirah perang khandak, aku terkejut dengan tindakan nabi dan para sahabat terhadap Bani Quraizah. Bani quraizah ini bersahabat lama dengan umat Islam khususnya kaum Aus. Namun mereka mengkhianati persahabatan tersebut di dalam peperangan Ahzab. Saat bani quraizah meminta pendamaian, Nabi serahkan keputusan kepada Saad b Muadz. Saad tidak menggelar mereka barua, Saad tidak memulaukan mereka, tetapi keputusan Saad jauh lebih dahsyat daripada itu:

Kata Saad: "Aku putuskan hukuman bagi mereka agar seluruh kaum lelaki dibunuh, harta mereka dibahagi dan anak-anak kecil serta kaum wanita mereka ditawan" 

Dalam pemikiran org cetek seperti aku:

"kalau Nabi terima pendamaian, mesti ramai orang bukan Islam yang respect..."

Memahami pemikiran Nabi tidak semudah yang dijangka.

Banyak masanya nabi terima pendamaian, ada masanya tindakan Nabi terlihat "kejam" di mata orang biasa seperti kita.

Memahami pemikiran ulama' juga tidak mungkin mudah.

Banyak kalanya percaturan mereka terbukti bijak. Namun ada masanya ia kelihatan "bodoh" di mata orang google seperti kita.

Bersangka baik dan bersabarlah dengan "kerenah" mereka, seperti mana sabarnya musa menonton "kerenah" Nabi Khidir. Kalau mereka pun kita tidak mahu percaya, siapa lagi yang mahu kita serahkan urusan agama ini?

Tatkala sebahagian kecil sahabat tidak berpuas hati dengan "ketidakadilan" Rasulullah dalam pembahagian harta Hunain, nabi berkata.

 "Siapakah lagi yang adil kalau Allah dan RasulNya tiada adil? Tuhan memberi rahmat kepada Nabi Musa! Sesungguhnya ia telah disakiti lebih banyak dari ini, dan ia pun sabar".




Menyanyikan semula puisi yang pernah ditulis


Duhai hati
Usah banggakan jasadmu
Aku dan engkau tak punya apa
Ilmu sedikit yang terasa ada
Belum pasti membawa kita ke syurga
Pandang mulia insan di sisimu
Agar engkau belajar tunduk
Dengan nafsu yang mahu menunjuk
Secebis kehebatan tanpa keberkatan

                "Musa berkata kepada lelaki itu(Khidir): Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Dia menjawab: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu? Musa berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Dia(Khidir) berkata: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.” Ayat 66-70 Surah Al-Kahfi.


Sebagai orang kampung, aku dan rakan-rakan memahami barua tu maksudnya orang suruhan. Apa yang teruknya? Ke orang bandar je yang terkejut tak pernah dengaq? Hehe


Sekian dari Syuib0809.





Friday, 4 September 2015

Show Don't Tell

Bismillah.

Menghadiri pelbagai jenis kursus, aku kurang pasti adakah ceramah panjang lebar seperti itu mampu mengubah paradigma manusia. Menepati masa, integriti, patuh agama, pembersih, segala intipati yang cuba disampaikan, berat benar mahu menampakkan sebuah hasil.

Merujuk kembali kepada beberapa sirah nabi, banyak "musuh" yang berubah paradigma hanya kerana perkara-perkara kecil tanpa "syarahan" panjang lebar. Kisah thufail bin amr, khalid Al Walid, Saad bin Muaz, juga kisah wanita yahudi buta yang disuap oleh Nabi, semuanya tertumpu kepada satu hikmah. Tunjuk tanpa banyak Bicara.

Sekadar mahu berkongsi beberapa video dari negara Jiran yang cukup-cukup menarik.
Semoga bermanfaat






Isu yang sedang melanda jemaah Islam, maka aku sendiri tidak faham bagaimana orang Islam boleh memaki Ulama' sendiri. Dalam zaman semua manusia terbuka menyatakan pendapat, begitu mudah kalian mencaci, memfitnah, mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang sangat takut kepada Allah. Zaman yang terlampau banyak ruang kelabu, apakah kalian begitu yakin menghitam putihkan hujah hanya dengan bacaan "sekangkang kera"?





Bila usrah dan sirah sekadar menjadi hidangan kisah dongeng, perjuangan itu seakan mudah dan menyeronokkan. Bai'ah Ridhwan itu bukan koleksi perjanjian permainan. Bai'ah Aqabah itu bukan kata-kata yang begitu ceria dilafazkan dalam tamrin. Turunlah ke padang, korbankan harta dan jiwa, mudah-mudahan kalian berjaya kembali ke Zaman Rasul. Tapi jika selesa COC dan PES melekat di jari, jangan mudah mengeluarkan pendapat. Kalau petrol ke masjid pun berkira, usah memaki mereka yang bekerja. Kalian masih jauh dari "syurga" mereka.


“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” (Tirmidzi, Ahmad, Ad-Darimi, Abu Dawud. Dishahihkan oleh Al-Albani)
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya dari hamba-hamba. Akan tetapi Dia mencabutnya dengan diwafatkannya para ulama sehingga jika Allah tidak menyisakan seorang alim pun, maka orang-orang mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh. Kemudian mereka ditanya, mereka pun berfatwa tanpa dasar ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan.”(HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)


Sudah terlalu ramai yang pergi meninggalkan kita. Hargailah apa yang masih ada.


Sekian dari Syuib0809.