Monday 17 August 2015

Dulu...

Bismillah.

Dulu...

Selalu sahaja aku runsing. Runsing si hingusan belasan tahun. Entah apa yang dirunsingkan. Setiap kali runsing itu datang, aku akan menuju ke dewan besar sekolah. Berseorangan. Menekan si hitam putih yang menyusun bunyian indah. Tiada siapa yang tahu. Ada kalanya di awal pagi hujung minggu. Ada masanya di ambang senja yang sunyi sepi. Lagu ini yang paling kerap aku mainkan. Melodinya sungguh indah. Meredakan sebentar ribut yang melanda hati.




Dulu...

Tatkala aku runsing, pasti akan ku sambar si Buroqs. Yang sentiasa setia menemaniku merayap. Saat aku berbicara dengan pekan tua, buroqs hanya sepi membisu. Menyimpan seribu satu rahsia pengayuhnya. Pernah beberapa kali, aku tidak pasti ke mana destinasi yang mahu dituju. Lalu aku biarkan buroqs menjadi tuan. Meredah lorong-lorong baru, taman-taman hijau yang menenangkan semula kesedihan hati. Buroqs tidak ikut aku pulang. Sini bumi asing baginya. Rindu aku pada dia dan pekan tua selalu muncul, bila aku kembali berduka.



Dulu...

Aku punya ramai teman bicara. Untuk aku berkongsi cerita. Atau sekadar mendengar cerita. Suara si naqib selalu menenangkan hati. Pesan murabbi pula menghubungkan hati dengan Ilahi. Sembang-sembang di dapur dengan Izwan, pelbagai cerita darinya yang mencuit hati. Menyebabkan aku lupa akan duka sebentar. Tapi mereka-mereka ini entah di mana... Menghilang.. Kerana aku sendiri malu mahu mencari mereka.


Dulu..

Taman-taman menjadi tempat melepas rindu. Pemandangan hijau itu selalu berjaya menjadi penawar hati. Kadang-kala, aku berbaring di atasnya melihat awan biru. Ratu putih yang dari tadi bermain air, seolah-olah bersketsa menghiburkan penontonnya. Bunganya pula berubah mengikut musim. Aku tidak berjumpa taman itu di tanah air. Rupa yang persis, hanya menjadi tempat teruna dan dara melepaskan gian melupakan Tuhan.

 

Itu semua kisah dulu.
Yang semakin jauh meninggalkan aku.
Rinduku, entah bila akan bertemu...



Tulisan ini kerana  aku sudah terlalu lelah dan letih

...

Tiba-tiba teringat sebuah kisah. Saat Mekah dibuka, Nabi menunggang kembali al-qashwa. Sampai saja di kampung halaman, tali qashwa terus dilepaskan. Unta itu dibiarkan menentukan destinasi. Saat qashwa berhenti, nabi menuruninya dengan penuh rasa kerinduan. Sahabat melihat kekasih Allah itu menitiskan air mata. Rindu Qashwa membawa Muhammad kepada insan kesayangannya. Unta itu rindu kepada Khadijah. Kekasih yang selalu menenangkan Muhammad. Para sahabat akhirnya bertemu jawapan. Kerana sudah terlalu kerap nabi berkata: " Aku rindukan seseorang di Mekah"

Rasulullah s.a.w bersabda " Dia (Khadijah) beriman kepadaku ketika manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika orang-orang mendustakanku dan dia membantuku dengan hartanya ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa..Allah mengurniakanku anak darinya dan tidak mengurniakan anak dari yang lain.

Aku rasa aku pun rindukan seseorang. Dan aku fikir rangkap ke lima luahan ini mungkin lebih mudah terjadi dalam pencarian ini.

Sekian dari Syuib0809.

2 comments: