Friday, 10 April 2015

Doraemon

Bismillah..

Sesi 2014/15 yang semakin menemui penghujung, Lalu aku mengambil kesempatan menitipkan pesanan. Pesanan umum yang bersifat ringan, sebagai bekalan untuk anak-anak pelajar yang menuju ke alam universiti kelak.

Seekor kucing gemuk bewarna biru pernah menjadi fenomena dunia, kerana kehebatan teknologi yang dibawa keluar dari poket kecilnya. Bersama rakan-rakan manusianya yang tidak pernah membesar, maka setiap episod membawa kisahnya tersendiri. Ada sahaja masalah baru, ada sahaja alat baru, dan ada sahaja masalah yang disebabkan oleh alat baru. Namun, amat sukar pula untuk dihidupkan watak-watak yang baru. Hinggakan Nobita, Giant, Shizuka dan Suneo pasti sentiasa kelihatan dalam setiap episod, dibantu beberapa pelakon tambahan yang kurang menyerlah karakternya.

Menyoal anak-anak pelajar, maka semua bersetuju bahawa Giant adalah watak yang paling ganas, shizuka sebgai gadis yang  sweet, dan Nobita sentiasa dilihat sebagai watak utama yang sangat-sangat bermasalah. Doraemon pula selalu mengalah, berusaha menunaikan hajat-hajat dari sahabat baiknya.

Setiap episod yang sentiasa bermasalah, namun kemarahan Doraemon kepada Nobita tidak terbawa-terbawa sehingga ke episod seterusnya. Tidak seperti drama manusia yang berdendam hingga ke akhir episod, setiap episod dalam khayalan Fujiko Fujio pasti dimulakan dengan hari baru. Tiada permusuhan yang dibawa dari episod sebelumnya. Tiada penyesalan yang diingat-ingat dalam episod seterusnya. Lalu hubungan Nobita dan Doraemon sentiasa bermula dengan baik dalam setiap episod. Apa sahaja masalah yang berpunca dari Nobita, Doraemon pasti terus memberikan bantuan, memaafkan kesalahannya, dan melupakan kesilapan-kesilapan rakannya yang sudahpun menjadi sejarah. Hinggakan persahabatan yang bermula dari Tahun 1969 itu terus kukuh hinggalah ke hari ini, kerana kesalahan dan kesilapan tidak pernah menjadi sebab untuk mereka menjadi musuh.


Mudahkah punyai sikap seperti Doraemon?

Abu Hurairah ra berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga perkara yang siapapun memilikinya maka Allah akan menghisab dirinya dengan penghisaban yang mudah dan ringan serta memasukkan dirinya ke dalam syurga dengan rahma-Nya, yaitu: engkau memberi kepada orang yang tidak pernah memberi kepadamu; engkau memaafkan orang yang telah menzalimimu; dan engkau menyambungkan hubungan silaturahim dengan orang yang memutuskannya.”(HR Al-Hakim, al-Baihaqi dan ath-Thabrani).

Beberapa minggu ini, ada beberapa orang pelajar yang hadir ke pejabat dan bercerita mengenai masalah peribadi. Kisah yang hampir sama, iaitu mempunyai masalah dengan rakan sebilik. Bukan sesuatu yang pelik, kerana fenomena tidak bertegur sapa secara tiba-tiba ini memang perkara biasa terutamanya di alam remaja. Namun masalah yang lebih besar ialah bilamana kejadian-kejadian sebegitu merunsingkan mereka yang berfikir:  dia marah kat aku ke? Aku ke yang kena minta maaf? Apahal plak aku yang kena minta maaf? Perlu ke baik balik dengan dia? Bukan dia ke yang salah? Macam mana nak ambik hati dia? serta pelbagai lagi persoalan yang mengganggu emosi. Lalu, yang hilang ketenangan bukan rakan yang difikirkan, tetapi diri sendiri. Maka, apakah ubatnya?

Melaghokan diri dengan lagu "Ayo, tinggalkan dia". Tak pernah plak aku dengar lagi ni

Masalah hati yang perlu diubati dari dalam, maka nabi ajarkan kepada manusia bagaimana menjinakkannya. Berilah sesuatu pada orang yang tak pernah memberi apa-apa pun kepada kita kerana ia akhlak yang cukup halus untuk menyentuh hati. Sebelum tidur, cakapkan pada hati yang kita maafkan semua kesalahan orang yang berlaku pada hari ini. Agar esoknya menjadi episod baru, persis episod baru dalam kisah-kisah doraemon. Khabarkan sahaja pada hati, kerana hati itu punca masalah, bukan rakan yang sedang melakukan kesalahan kepada kita. Sejauh mana pun rakan kita cuba menjauhi(putuskan silaturrahim) dengan kita, azamkan yang kita perlu sentiasa berbuat baik kepadanya. Kerana akhlak luhur itu adalah sebuah kebaikan, yang menjadi jambatan kepada dua daratan hati yang sedang terpisah.

 Rasulullah S.A.W bersabda: “Kebaikan adalah akhlak yang baik, dan dosa adalah apa yang terasa mengaggu jiwamu dan engkau tidak suka jika diketahui manusia “ Riwayat Muslim

Jadilah seperti Doraemon, kerana dia memberi kepada manusia yang tidak mampu memberi manfaat apa-apa kepada dirinya. Doraemon itu gambaran harapan agar manusia memperbaiki hati dan akhlak, supaya sebuah persahabatan tidak mudah putus hanya kerana sebuah masalah. Kerana manusia sentiasa mempunyai masalah, dan diri kita adalah penyelesaiannya.

Khas buat anak-anak pelajar yang bakal menempuhi alam baru

Gambar terbaik semester ni. InshaAllah gambar-gambar lain menyusul untuk next post

Sekian dari Syuib0809. 

1 comment: