Thursday, 16 April 2015

Bisikan buat Raja

Bismillah.

Sudah lama tidak merasai hujung minggu yang kosong. Maka, mengisi sabtu pagi dengan membersihkan rumah seorang diri. Dan tiba-tiba juga, teringin nak makan nasi ayam buatan sendiri. Maka, berhempas pulas memasak untuk makan seorang diri. Ada orang kata baik beli kat luar je, tapi entah kenapa aku memang lebih suka masakan rumah. Dan akibatnya, 4 dari 7 hari aku dihidangkan dengan masakan sendiri. Walaupun sekadar ayam goreng+nasi panas+kicap manis, ianya cukup "heaven". Perghh.. Cuma aktiviti mengemas dan memasak tu benar-benar menyebabkan aku penat. So, berkurung je dalam rumah petang tu. Malam pergi masjid Pajak Song, ada ulama' dari Iraq bagi pengisian. Rezeki..

Sabtu tu juga, ada beberapa perkara yang tiba-tiba menyebabkan aku berkecil hati(ngade-ngade). So, setelah begitu lama tak hidangkan butir-butir mainan bahasa, aku menulis sebentar sebagai nasihat buat hati. Mudah-mudahan bermanfaat buat diri.


Raja yang dicari-cari

Tersembunyi di ruang kecil jasad
Longitud yang tiada berpeta
Mana mungkin aku mencarinya
Mahu dibelai tidak ketemu
Mahu dihidu tiada bau.
Yang mampu hanya bisikan
Moga tiada hijab engkau untuk mendengarnya..



Duhai hati
Usah banggakan jasadmu
Aku dan engkau tak punya apa
Ilmu sedikit yang terasa ada
Belum pasti membawa kita ke syurga
Pandang mulia insan di sisimu
Agar engkau belajar tunduk
Dengan nafsu yang mahu menunjuk
Secebis kehebatan tanpa keberkatan




Duhai hati
Kerdilkan dirimu
Agar engkau tidak mudah bersedih
Dengan titipan harapan kepada manusia
Anak-anak itu tidak perlu menghargai
Kerna engkau sentiasa ada Tuhan
Yang punya hadiah terbaik
Untuk menggembirakan dirimu kelak

Duhai hati
Jauhi prasangka
Hanya dengan itu engkau akan tenang
Senyuman melihat orang senang
Menjauhkan cintamu kepada Dunia
Yang umurnya sudah tersangat tua
Sedangkan syurga sentiasa muda
Untuk diimpikan seperti hari mula



Duhai hati
Bersihkan rumahmu dari kotoran tetamu 
Yang kerap bertandang tanpa jemputan
Si Ujub, si riak dan bang Takabbur
Semuanya akan takut kembali
Bila engkau terus mewangi
Dengan zikir di pintumu

Duhai hati
Tunggulah sebentar
Sabarmu kemasan ilmu
Lukamu sering menyakitiku
Jauhkan dirimu dari segala hirisan
Kerna aku tidak bertemu penyembuhnya
Melainkan dirimu sendiri






Duhai hati
Usah pergi pada gadis itu
Kerana jasadku masih tak mampu
Bukankah kita sudah punya kekasih
Yang mulutNya selalu merindu
Dengan manisan Ummatku, ummatku
Kalangan utusan, dialah penghulu
Kalangan manusia, dialah guru
Di akhirat kelak, dia akan dicarimu. 




Sekian dari Syuib0809.


No comments:

Post a Comment