Saturday, 29 June 2013

Kembali dan Berhenti Menyayangi

Bismillah

Sudah seminggu habis berpraktikum. Kehidupan aku kembali menjadi biasa-biasa. Tiada orang terdekat yang benar-benar boleh disayangi melainkan keluarga. Pengalaman menjadi guru praktikum mengajar aku banyak perkara. Antara yang paling aku hargai ialah apabila aku kembali boleh menyayangi. Ada orang yang boleh dicintai iaitu anak-anak murid. Berkorban masa, duit, tenaga untuk orang yang disayangi ialah kuasa yang aku kembali rasa. Setelah sekian lama hati kering untuk menyayangi manusia di depan mata.

Aku kembali memikirkan kenapa aku sanggup berhabis masa di sekolah begitu lama hingga menjadikan rumah yang disewa sekadar tempat persinggahan. Berulang-alik ke sekolah sampai 3 kali sehari, mandi, malah sanggup tidur bersama budak-budak tu. Kerap kali juga, sangat sukar untuk menolak permintaan diorang yang hakikatnya masih kanak-kanak. Hati jadi semakin lembut, sedangkan aku adalah orang yang sangat tak mudah nak mengalah bila orang minta sesuatu yang menyusahkan aku. Itu barangkali kuasa cinta, yang sudah ada pada Murabbi Cinta kita iaitu Muhammad bin Abdullah.

Sehabis sahaja praktikum, aku seolah-olah membuat keputusan untuk membujang. Firasat aku, hanya cikgu bujang yang mampu meluangkan masa sebanyak mungkin untuk anak-anak murid mereka. Hanya cikgu bujang punyai duit yang boleh dilimpahkan kepada anak-anak murid mereka. Hanya cikgu bujang punyai masa mendengar luahan anak-anak murid yang sedang merintih, mencari kasih sayang. Barangkali itu kelebihan seorang cikgu yang bujang.

Aku kembali ke maktab dalam keadaan yang sangat-sangat lesu.
Seolah-olah, aku kembali berhenti menyayangi.
Menutup pintu untuk menyayangi, duduk dalam bilik mengurung rindu.
Berhenti mencari orang untuk disayangi, walaupun rakan-rakan masih berada di sekeliling.

Aku tinggalkan sekolah tanpa titisan air mata.
Yang ada hanyalah gelak ketawa.
Menyorok rindu dengan kata-kata dan lawak jenaka.
Kerana Ego ini juga, aku masih tak bertemu sapa-sapa.
Untuk dijadikan teman terbaik di dunia hingga ke Syurga.

Ya Allah, mohon kembalikan perasaan sayang itu.


1 comment:

  1. Assallammualaikum wbt,

    Akak doakan supaya Allah mudahkan jodoh awak, ditemukan dengan seorang perempuan solehah yang bakal melahirkan zuriat & keturunan yang soleh & solehah.. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba2Nya, semoga dipermudahkan segala urusan hidup dunia & akhirat.. Salam Ramadhan & take care!

    ReplyDelete