Tuesday, 27 February 2018

Harimau dan Nyamuk

Bismillah.

Bercadang menyampaikah tazkirah ini weekend yang lalu. Lama aku tidak mencedok semula analogi ini, kali terakhir 4 tahun lalu di IPG. Cuma sayangnya, ia tidak terluah. Anak-anak itu masih belum terbiasa menyelit ilmu-ilmu akhirat pada aktiviti-aktiviti dunia mereka.

Oleh kerana tidak semua pengisian berkesan untuk dilaksanakan secara lisan, aku rasa penulisan juga mampu menyuntik ibrah akan hujung minggu yang bermanfaat itu. Cuma ia dipendekkan, point-point penting saja diambik.

Harimau dan Nyamuk.

Dua binatang ini, kerapkali disebut namanya apabila manusia masuk ke dalam hutan. Satunya berbadang besar, lebih berat dari manusia, dan punya taring yang jelas di mata tanpa hijab. Sedang satu lagi kalau ditepuk, berkecai badannya. Tak perlu alat tajam untuk membunuhnya, cukup sekadar semburan. Malah manusia-manusia pengotor dan pemalas, sangat suka menternaknya di rumah. Soalan mudahnya, yang mana satu kita takutkan? Harimau, atau Nyamuk?

Harimau yang kita sekadar jumpa di zoo itu, menyebut namanya saja sudah menyeramkan. Mahu bermanja jarang sekali. Kalau ternampak, baik cepat-cepat cabut lari. Sedang nyamuk yang hari-hari kita jumpa dalam jaga dan lena, berbeza pula reaksinya. Bahkan sejujurnya, kita adalah pembunuh tegar haiwan kecil yang sungguh menjengkelkan ini. Takutnya kita pada si sado yang berbadan besar, tidak sama sekali pada nyamuk kecil yang tidak berbadan. Sedangkan..

Kalau kita buka laman web rasmi denggi Malaysia, awal tahun 2018 sampai ke hari ini sahaja, sudah 17 orang mati kerana denggi. Usah cerita yang terkena, statistiknya bukan ratusan, tetapi ribuan. Sakit kerana apa? Hanya kerana terkena gigitan makhluk kecil ini. Sedang harimau, barangkali dalam satu tahun, 3-4 cerita sahaja kita dengar, itupun masih asing untuk menuju kematian. Malah harimau juga, banyak masanya akan lari apabila terserempak dengan manusia. Kadang-kadang, kita pulak yang pelik, bila harimau boleh jadi manja dengan manusia, hehe


"Anak-anak, apa yang kamu takut dan risau dalam kehidupan kamu?"


Tak semua orang paham makna sekeping gambar. Dan tak semua orang mampu menghargai betapa pentingnya sekeping gambar yang kelak menjadi sejarah. Aku dah mula stresss dgn kualiti gambar yg dihantar melalui whatsapp. Tapi nak menagih janji, letak jelah dulu.


Rezeki dan Amal.

Yang kita takutkan ialah keputusan akademik kita, yang kita sanggup berjaga malam, ialah untuk assignment kita. Tiru pun tirulah. Yang kita risau ialah kita tidak diterima oleh mana-mana universiti kelak. Hingga bersambung yang kita risaukan ialah kerja apa yang kita akan dapat dan berapa gajinya kelak. Imam Hassan Al-Basri apabila ditanya kenapa dirinya sentiasa zuhud dan tenang berbicara


Aku tahu rezeki ku tidak akan diambil orang lain, karena itu hatiku selalu tenang. Aku tahu amal ku tidak akan dikerjakan orang lain, karena itulah aku sibuk beramal soleh. Aku tahu ALLAH Ta’ala
selalu memerhatikan ku, karena itulah aku malu jika ALLAH melihat ku sedang dalam maksiat.
Dan aku tahu kematian itu sudah menunggu ku, karena itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuan ku dengan ALLAH……..



Hari ini kita mengkhianati makna ilmu kerana risau akan rezeki kita. Sedangkan rezaki itu bukan duit sahaja. Dan rezeki tidak hadir kerana akademik semata-mata. Sampaikan zalimnya kita kepada diri, apabila meninggalkan amal kerana ketakutan kepada akademik. Sedangkan rezeki datang dari pemberian Tuhan, apabila kita memperhambakan diri kepadaNya, dan jauh dari berTuhankan hambaNya. Kerana itu tolonglah agama Allah, tolong manusia-manusia yang ada disekeliling kita dengan jasad serta ilmu yang kita ada. Nescaya, rezeki kita kelak Allah salurkan melalui tangan-angan orang yang pernah kita bantu tanpa mengharapkan sedikit pun balasan. Dan benar, itulah sebaik-baik amal

Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan(8), Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.(9) Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. (10) Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Alinsaan 8 - 11

Ingatlah, manusia tidak jatuh miskin dan mati kerana bilangan A yang tidak diperolehinya, tetapi ramai yang mencabut nyawa sendiri kerana menyisihkan kehadiran Tuhan dalam dirinya. Tapi..

Janganlah bersila tatkala bertemu dengan si belang. Ketakutan yang hadir untuk si nyamuk, tidak sama sekali memansuhkan rasa takut pada harimau. Lalu, takutnya kita pada kepapaan amal, jangan dibuang kegigihan usaha membaikkan akademik kita. Kerana akademik juga, menjadi jalan untuk kita bertemu Tuhan.

Dari Mutharrif dari ayahnya , ia berkata:
Aku mendatangi nabi  dan baginda tengah membaca: “Bermegah-megahan telah melalaikanmu. (At Takaatsur: 1), beliau bersabda: “Anak cucu Adam berkata: Hartaku, hartaku. Beliau meneruskan: Hartamu wahai anak cucu Adam tidak lain adalah Apa yang kau makan lalu kau habiskan, Apa yang kau kenakan lalu kau usangkan atau Apa yang kau sedekahkan lalu kau habiskan.”
[HR. Muslim]
..........

Ia kisah motivasi yang kerap aku tuturkan ketika zaman "hebat" dulu.



Hebat.

Baru-baru ini, dua orang ustaz menghubungi aku untuk tujuan yang sama. Cuma seorang ustaz ni, sudah empat tahun tidak berhubung sapa. Malam itu, lama benar aku bersembang dengannya. Cuma ada satu ayat yang keluar dari mulutnya menyebabkan aku riak dan tersentak:

"Enta pun hebat jugak, cuma enta je yang taknak tonjolkan diri"

Zaman-zaman mahu menjadi hebat itu sudah aku buang dalam diri. Ia kesesatan berbicara yang membinasakan hati dan diri. Berdiri di khalayak ramai seperti tidak punya dosa. Berbahas berbalah dengan impian menaikkan diri. Dosa menjadi Hebat. Menyembunyi dan menghina diri lebih berpahala.

Biarkan sahaja semua itu menjadi sejarah.



Sekian dari Syuib0809.

Thursday, 8 February 2018

Pening MEMORI bhgian akhir: Kuli Manusia

Bismillah.

Empat tahun menyaksikan memori, aku selalu berfirasat dikalangan ajk-ajknya pasti punya orang yang mustajab doanya. Kerana ramai antara mereka yang tidak kisah pun mengenai markah koko, malah sanggup menabur duit dalam keadaan elaun yang masih tertahan. Seperti tahun-tahun sebelum ni, aku melihat cuaca yang mengikut sunnatullah itu seperti meminta izin pada Tuhannya. Hujan yang kerap turun di siang hari minggu sebelumnya, lebat angin dan airnya bukan biasa-biasa. Tetapi untuk ekspo memori yang berlansung, cantik benar cuacanya dengan terik mentari. Dan sebaik sahaja ekspo dijadualkan tamat jam 5.00 petang, air hujan mula menitis menghalau peniaga dan urusetia yang sudah lelah sepanjang hari.

Aku ingat ia cuaca yang sudah berubah dari kebiasaan. Barangkali juga tiada doa yang mengaturnya. Tetapi apabila hujan mencurah-curah pada pagi isnin dan hari-hari berikutnya, memang benar keyakinan aku, ada doa yang sudah sampai pada Tuhannya. Berdoalah, Allah pasti mendengarnya.

Bergambar dgn manusia2 yg mustajab doanya.


Empat tahun ini juga, aku orang yang terkenal sebagai insan di sebalik tabir memori. Tiada hitam putih, tiada wajah pada iklan, apatah lagi sijil untuk diriakkan sebagai rasuah dalam proses kenaikan pangkat. Tiada siapa melantik, dan aku juga tidak melantik diri sendiri. Kerana itu, tiada sebab untuk pelajar yang punya pangkat itu mendengar atau mematuhi arahan dari aku. Maka tiada logik untuk kecewa akan apa yang berlaku, kerana aku hanyalah seorang kuli.

KULI.

Sejak zaman sekolah, aku memang orang yang suka menyorok di belakang tabir. Muka kuli yang terlukis itu, memang patut benar untuk tidak dikedepankan. Angkat meja, susun kerusi, main alat muzik iringan, peluh yang jatuh itu kerap hadir disamping pakaian lusuh yang tidak pernah lansung mahu mengikut fesyen terkini. Sebaik habis program, aku juga orang yang akan mengemas dewan dan memastikan barang-barang yang dipinjam dikembalikan ke tempat asalnya. Sedang rakan-rakan yang punya rupa dan kemalasan, menyibukkan diri bergambar bersama gadis-gadis sebaya yang penuh nafsunya. Haha

Malam berlansungnya majlis pembukaan MEMORI, aku masih setia dengan kurta dan kain pelekat. Memantau perjalanan majlis itu dibelakang tabir sahaja. Tiba-tiba terlalu depan pengarah dan ketua-ketua jabata, teruih cabut lari smbil pegang kain pelekat. Hahaha.

Pakaian rasmi zaman berzaman.


Keesokan harinya, selepas subuh terus bergegas ke kawasan ekspo untuk setup PA sistem. Tiba-tiba alat-alat ni meragam, maka dekat dua jam jugaklah baru habis setup. Seperti tahun-tahun sebelum ni, aku akan ambik masa berehat dalam pukul 12 tengah hari smpailah jam 2.30 petang baru kembali ke sana. Tapi kali ni, lepas zohor baru aku rehat sebab risau apa-apa jadi. Tapi jujurnya kali ni, tak banyak kerja dah. Semua berjalan dengan sangat lancar.

Cuma belah malamnya, aku mula mencampuri urusan makanan vip. Ke hulu ke hilir mencari makanan yang lain pula agar sesuai dengan namanya. Kalau tidak asyik mee goreng, nasi goreng dan adik segorengan yang lain. Maka, malam terakhir tertukarlah menu menjadi mee tomyam. Cuma kelam kabut sebab terpaksa mencari mangkuk dan senduk kat pekan kepala batas.

MANUSIA.


Khamis pagi, ustaz tetiba mai dekat aku:

"Izuan, unit koko bising budak2 ni nyorok banner dengan hiasan bunga kat belakang dewan..."

"Pagi forum tu, lepas guna office saya, habis biar mcam tu je..."

Antara disiplin-disiplin besar aku sebelum ni, ialah memastikan memori yang meriah itu seolah-olah tidak pernah terjadi sebaik sahaja semuanya tamat. Keadaan sebelum, biar sama selepas tamatnya. Tiada saki baki, sampah, apa sahaja yang menyakitkan mata perlu dilenyapkan dari pandangan mata. Dan aku akan menjadi orang terakhir berada di tempat kejadian sebaik sahaja semuanya tamat. Cuma tahun ni, aku sedaya upaya tidak mahu masuk campur kerana mereka sudah ada penyelaras mereka sendiri.

Tetapi seperti dijangka, perkara seperti ni berlaku kembali. Alat-alat muzik aku yang diberi pinjam, semua dicampakkan sahaja di kawasan belakang surau. Meja bilik tutor pula masih tersadai di kawasan berhampiran tandas surau. Malah alatan PA sistem yang aku beri pinjam, aku sendiri yang perlu mengumpulkannya kembali. Terpaksa memuraikan mulut untuk memastikan barangan yang berharga ribuan ringgit itu kembali kepada empunya diri. Cuma oleh kerana dada aku masih sakit, bantuan dari anak-anak ini sangatlah diperlukan..

"Tapi cikgu, takkan asyik kami je yang kena angkat.."


Rungutan itu dari manusia yang baik-baik sahaja orangnya. Terhasil Kerana terpaksa melayan kerenah manusia yang ketika meminjam penuh janji manis dan tenaga, tetapi sebaik sahaja habis guna, penuh alasan dan kemalasan yang mengiringi. Tak bagi pinjam, bising mengutuk mengalahkan mulut si murai. Encik wan yang mendengar perbualan aku dan ustaz kemudiaannya menyampuk.

"Jangan cakap budak, pensyarah pun serupa tu jugak.."

Haha. Itulah manusia.

BUKTI

Ahad pagi, saat memori masih rancak berjalan, aku menyampaikan pengisian buat sekumpulan manusia:

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asy’ari r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir AlhamduliLlah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan AlhamduliLlah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah bukti. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan (memelihara) dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya. (Hadith riwayat al-lmam Muslim)

Simbol yahudi apa entah diorg buat ni. Ish3x


Sepanjang memori berlansung, mata aku ligat menyaksikan manusia. Ada yang kuat agama, ada yang belum kuat agamanya. Yang terlihat kuat agama itu, sangat suka untuk aku menguji mereka. Saat setiap sorangnya masih mengira saki baki yang seperti tiada dalam dompet masing-masing, aku masih memaksa agar ianya disumbangkan pada projek memori yang mereka cipta ini. Bukan jumlahnya yang aku mahu saksikan, cukup sekadar keasanggupan. Ia sudahpun menjadi bukti.

Adapun yang belum nampak beragama itu, kegembiraan melihat mereka menyumbangkan tenaga dan apa yang mereka ada untuk kerja agama yang belum nampak betul-betul beragama itu. Cukuplah ia menjadi bukti bahawa mereka punya sayang untuk diucapkan pada Tuhan di akhirat kelak. Mudah-mudahan jual beli itu menguntungkan mereka dan menjadi titik mula untuk mereka terus menjual diri  pada kerja-kerja agama kelak.


Team jualan.


Sekian dari Syuib0809