Sunday, 24 July 2016

Puji Keji

Bismillah...

Rabu minggu lepas, aku menerima panggilan dari pejabat...

Panggilan itu hadir saat aku sedang mengajar dalam dewan kuliah, maka sejujurnya, ia agak mengejutkan.

"izuan, timbalan pengarah nak jumpa..."

Tidak pernah lagi orang besar-besar mahu berjumpa empunya diri. Bujang yang sepi, tidak banyak cerita dan bercerita, lalu seribu satu andaian bermain sepanjang kuliah bukan agama itu berlansung. Sebaik sahaja tamat, aku ke bahagian atas pentadbiran, bertemu orang no 2 kolej.

Pertemuan 40 minit itu, terlalu banyak yang dibicarakan. Dan dalam bicara itu, tiada satu pun andaian di kuliah tadi benar-benar disentuh. Ia kes pelik. Dan kepelikan kejadian itu mencari tuan untuk dipersalahkan. Maka episod menarik itu pun bermula..

Campurtangan aku disebalik program-program ANC mula dipertikaikan. Pada kaca mata orang berDG, ia terlihat sebagai campurtangan, bukan sebagai sebuah pertolongan. Maka, nama "izuan" itu menjadi topik perbualan, mahu ditongsampahkan atau lebih bijak untuk diketengahkan...

Kepala yang tidak mungkin lari dari memikirkan, aku ditakdirkan beroleh demam. Demam yang "memabukkan" fikiran dari masalah, kemudian dibantu dengan gusi membengkak selang beberapa harinya.

Aku secara jujurnya mahu memberhentikan semua campurtangan. Melihat ANC yang sangat-sangat lancar dan bersemangat, ia sememangnya menggembirakan. 3 projek besar yang berjalan dengan jayanya, semuanya kelihatan sangat tenang dan menyenangkan.

Projek Iftar Annur dari Lajnah Hal Ehwal Surau(HES) yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Projek BookSale dari Lajnah Tugasan Khas yang sangat meriah dan mengukuhkan pembendaharaan.
Projek Aiman Banna dari Lajnah Dakwah Tarbiyah yang diluar jangkaan sambutan dan perjalanannya.

Bantuan yang entah dari mana tiba juga, urusan pemilihan JPP juga sangat-sangat dipermudahkan. Strategi yang berjaya, namun kejayaan demi kejayaan ini juga banyak merisaukan.

Orang yang tidak pernah miskin, tidak mudah menghargai kaya.
Orang yang tidak pernah merasai kejahilan, tidak celik menghargai iman.
Orang yang tidak melalui kesusahan,bermudah-mudah sahaja dengan erti kesenangan.

Kebimbangan melihat mereka yang selalu dipuji, aku risau bila suatu hari nanti mereka tiba-tiba dikeji. Malah, postmortem yang baru benar aku ambil sebentar tadi, si muda-muda ini sudah mula "mengkeji" antara lajnah. Rupa-rupanya, semangat assabiyah sesama lajnah itu semakin menebal. Yang mahu ditonjol semakin menipis Islamnya, pertandingan "logo" lajnah pula mula menjadi duri yang diketengahkan. 

Mengimbau kenangan sesi lepas, anak-anak ANC ini teruji dahulu. Dan ujian perpecahan itu menyebabkan mereka begitu menghargai kemanisan ukhwah yang tampil dipenghujung. Semua aktiviti yang berjalan,  tiada istilah "lajnah mana?". Mereka bergerak bersama, hingga muncul orang-orang komited yang tidak berlajnah untuk bergerak bersama.

Pro and cons yang sentiasa ada, aku tidak pernah ambil remeh dangan senang dan tenang yang sedang menggembirakan badan dakwah ini. Kerana setiap yang Allah ciptakan di dunia ini ada pasangannya. Mengutip madah Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang menenangkan:


Wahai anakku,

Di saat kamu mendapat sokongan kamu kena sedia untuk menerima kutukan. 
Di saat kamu dipuji kamu juga kena sedia dikeji. 
Di saat kamu sedih kamu akan dapati keriangan.

Inilah hakikat kehidupan sementara di dunia kerana Allah menjadikan segalanya berpasangan.

Siang akan bertemu malam. 
Ada miskin baru ada kaya. 
Ada susah baru mengenali senang. 
Ada cahaya barulah kenal kegelapan. 
Ada ruang kosong barulah mengenal kesempitan.

Semuanya ada pasangan. Inilah hakikat yang kamu mesti bersedia ketika di dunia sementara ini.
Semoga Allah memberikan ganjaran besar di atas sabar dan syukurmu. 
Senyum selalu.
 Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Bicara kecil untuk peringatan buah-buah hati, supaya tatkala badan dakwah ini diuji kelak, kalian masih sudi berdiri mempertahankan fungsinya. Bersedia untuk bersedih disebalik semua kegembiraan yang sedang menghiasi hari ini.

Dah, aku sorang je takde pasangan lagi nih.. Hehe

Sekian dari syuib0809

Thursday, 14 July 2016

Nasihat Baitulmuslim Syawal

Bismillah

Terlalu banyak perkara mahu dicoretkan, namun masa yang banyak kerap terisi dengan keletihan. Cuma hari ini, semangat yang ada kuat berusaha mengalahkan keletihan. Maka aku nukilkan sedikit cerita yang berlaku dalam bulan Raya sebagai kenangan kecil yang mencuit hati.

Nasihat Baitulmuslim edisi Aidilfitri..

Raya tahun ini, kami sekeluarga berkampung di Melaka. Semua adik beradik aku berjaya dikumpulkan, kerana tiada satu pun yang "sedang" berkahwin.

Sehari sebelum pergi, aku tiba-tiba kehilangan semangat mahu beraya. Dosa yang tiba-tiba menerjah, aku terlalu lesu memikirkan bagaimana solat lima fardhu yang kerapkali 4 waktu berjemaah, tiba-tiba dengan mudahnya bertukar menjadi satu. Hingga kepala ligat membuat keputusan kembali ke penang membawa dosa-dosa itu. Berperang dengan nafsu, aku akhirnya menuju ke Melaka dengan jayanya.

Hari pertama di rumah nenek, Pak Teh tunjukkan kad raya yang abah kirimkan pada mak waktu bujang kat kami adik beradik. Walaupun kad raya itu terlalu jelas menjadi bukti yang ayah aku tengah mengorat, namun bahasa yang digunakan sangat-sangat sopan dan berlapik. Cuma aku kagum dengan keberanian ayah aku mengirim surat-surat cinta seperti itu.

Keberanian sebegitu masih belum aku warisi. Walaupun banyak sifat abah yang aku berjaya ikut, namun perihal-perihal berbaitulmuslim ini masih belum menunjukkan cahayanya. Kerisauan itu, maka Pak Teh tampil menghulurkan bantuan..

"pak teh dah bagi kat mak gambar, nanti wan tengoklah..." pakcik aku memulakan dialog.

Pagi 1 syawal itu, aku begitu berazam mahu berjemaah di masjid. Ditakdirkan Allah, hanya aku dan pak teh menjadi wakil keluarga di masjid subuh tersebut. Saat berjalan kaki pulang dari masjid, pak teh mengambil peluang bercerita perihal sensitif ini dengan aku..

" penting untuk cari isteri yang faham dengan kerja-kerja dakwah..."

"bukan semua yang pakai tudung labuh faham dengan dakwah... Sebab itu kena cari yang betul-betuljoin, sebab diorang je yang faham kerja-kerja kita nanti..."

"sebab nanti kita banyak ajak orang datang rumah..."

"balik rumah lambat..."

"banyak pakai duit untuk kerja-kerja dakwah..."

"kalau isteri tak faham, nanti akan jadi masalah.... Bukan senang nak ubah mindset isteri yang tak faham... Nak ajar isteri yang pakai tudung segitiga supaya pakai tudung labuh pun susah... Nak lagi cuba fahamkan isteri tentang dakwah..."

Tutur bahasa pak teh sangat-sangat lembut. Sudah lama aku mengakui, kumpulan yang pak teh join itu sendiri memang terkenal dengan kelembutan mereka dalam tutur kata. Malah saat aku menulis kembali, aku pasti bahawa ada perkataan yang sukar untuk aku susunkan kembali.

Row belakang: nenek, pakteh, mak. Raya kedua, kami bawa lari nenek pergi aquarium sebab dah tak larat tengok nenek letih layan tetamu. Aku berdiri belakang sebab mencari jarak paling puas untuk tengok 3D. Hehe.



Aku sekadar tersenyum mendengar nasihat pak teh. Lama benar tidak mendengar nasihat mengenai BaitulMuslim. Kali terakhir ialah sekitar tahun 2012, saat aku menghadiri tamrin untuk pelajar tahun akhir.

Selang beberapa hari, abah menambah nasihat...

"nak kahwin, cari yang betul-betul suka. Jangan cari yang memilih-memilih ni..."

Aku sebenarnya terlalu malas memikirkan benda-benda ni. Tambahan pula soalan panas "bila nak kawin?" agak berkurangan untuk raya Tahun ni... Mungkin sebab aku dah kelihatan tua sangat kot untuk soalan cepu emas tu. hehe

Namun bila datang bantuan-bantuan yang tak di duga dari sahabat dan sedara-mara. Aku tiada pilihan melainkan mesti memikirkannya. Dan setiap kali soalan-soalan ini datang, aku akan mempertikaikan diri sendiri...

"muslimat tu patut dapat orang yang lebih baik, kau tu dah la panas baran..."

"takyah lah izuan, kesian muslimat tu nanti. Dia ingat ko baik, rupanya..."

Ayat-ayat seperti ini terus menerus berlegar di ruang minda. Kerana itu, sehingga kini aku selalu memikirkan perihal orang terengganu itu... Aku suka, mak aku suka, dia suka, kawan-kawan suka, tetapi "kesukaan" itu menyebabkan aku risau yang dia akan terluka. Dan aku menulis PUTUS sebagai tanda mengalah, agar dia berputus asa dengan lelaki yang disukainya... Dan mencari orang lain yang akan menggembirakannya. Ceewah dah macam drama plak..

Dan drama petang tadi, buah-buah hati sesi ni datang dengan gosip... Seribu satu kejutan yang mengganggu emosi aku hari ini, akhirnya terubat dengan keceriaan melihat gelagat mereka bertiga.

" cikgu, ada muslimin ANC macam mengorat sorang muslimat ANC ni..."

"hah!!!"... Aku tak dapat menahan gelak mendengar gosip liar tersebut...

"mana kamu tahu?"

"kami baca mesej yang muslimin tu hantar kat muslimat tu..."

"islamik tak ayat dia mengorat?" aku menambah rencah kelucuan tersebut...

"tak cikgu... Ayat dia macam, sudi tak menjadi peneman hidup blablabala..."

"kahkahkah...." aku sudah tidak mampu menahan ketawa. Lucu melihat kejutan anak-anak yang baru keluar sekolah agama. Seolah-olah baru keluar dari gua, aku secara jujurnya lebih risaukan produk-produk sekolah agama berbanding yang lahir dari madrasah sekular. Kejutan yang mereka lalui, menyebabkan perihal ikhtilat perlu diperketat dan dititikberatkan kembali.  Dan kisah seperti ini mengingatkan aku kepada senior mereka.

Dan senior-senior mereka...

Dan Juga super senior mereka.

Serta kisah-kisah cinta lucu ketika aku juga sezaman dengan mereka...

"saya dulu waktu umur-umur kamu pun ada la juga cerita-cerita macam ni, tapi takdelah bahasa-bahasa mengarut macam kamu ni... Takpe, nanti saya tulis kat blog.. Haha.."

Aku sebenarnya sudah menulis 3 post pasal KY dan Muscom. Target untuk menulis 7, tetapi tiga yang ada ini pun tidak mampu dikemaskan. Menulis cerita bukan senang, kalau yang cincai-cincai macam ni, memang sehari je dah settle..

Oklah...

Selamat Hari Raya 

Sekian dari Syuib0809..




Monday, 4 July 2016

Pengkritik: Antara Si Malas dan Si Rajin

Bismillah...

"ala ANC tu bukan ada keje sangat. Setakat sedia air, aku pun boleh..."

"apela diorang ni, panggila la ustaz-ustaz luar bagi tazkirah. Ini tidak kosong je rasa ramadhan ni..."

" takkan makan ini je..."

" tak best la event diorang ni... Dah la hambar... Tak kreatif lansung..."

"Ala diorang tu bukannya boleh tegur sikit, nama je badan dakwah... Tak pasal-pasal kita kena marah plak nanti..."

"nama je badan dakwah, ikhtilat tak jaga...."

Ayat-ayat di atas sekadar ayat rekaan yang aku cipta. Entah dari pengalaman, atau sekadar pemerhatian dalam zaman mulut sudah mula berlari ke jari.

Kalau dulu, sukar dan payah mahu menyuarakan pandangan. Kalaupun boleh, pasti ia berbayar. Namun hari ini, memberi pandangan itu sudah menjadi hobi. Hobi yang tidak perlu ilmu, cukup sekadar merasa diri betul, dan cari sahaja rakan-rakan sebulu. Pasti pandangan jahil terasa betul.

Namun apabila pandangan-pandangan jahil tersebut ditolak, mulalah keluar dialog-dialog suci:

" ini sekadar pandangan peribadi, anda bebas untuk terima atau tolak..."

" apa salahnya terima pendapat yang berlainan. Jangan jumud sangat, sampai bila nak maju kalau xleh terima pandangan orang lain..."

" mungkin saya salah, tapi tuan juga tidak semestinya betul..."

" terimalah kritikan dengan positif, bla3x..."

Kebebasan bersuara yang mahu diraikan, aku terasa semakin bodoh mahu merai manusia-manusia yang bergiat aktif di alam maya ini.

Dari isu vaksin yang masih lagi hangat, isu "solidarity 4 muslim yg tak puasa", isu air kelantan, isu RUU mahkamah syariah, isu itu, isu ini, aku secara jujurnya melihat manusia sudah tidak punya malu mahu menyuarakan pandangan...

Duduk di bilik-bilik dengan penghawa dingin, menikmati hujung minggu bersama keluarga tercinta, kesana ke sini dengan kereta mewah, insan-insan ini kemudian dengan selambanya berhujah sebagai "pengkritik" di alam maya.

Menanam disiplin, aku selalu mengunci mulut dari mengulas isu-isu ini sebagai pengkritik di blog. Kerana kritikan ini selalu melukai emosi orang-orang yang berpenat-lelah berkorban dalam medan yang sebenar.

Aku menjadi saksi akan anak-anak HES yang mengikat perut semata-mata memastikan jemah-jemaah yang hadir punya sesuap nasi untuk dijamah ketika berbuka...

Aku juga menjadi saksi malam-malam mereka yang tidak pernah sunyi dengan mesyuarat, merancang seribu satu aktiviti agar surau kecil ini meriah dalam dan luarnya.

Aku selalu kagum dengan senior-senior yang sanggup datang dari pelusuk negara, semata-mata untuk memandu adik-adik ANC yang tiada talian darah dengan mereka. Duit sendiri, tiada siapa yang mampu biaya.



 Projek berbuka. 70 talam untuk 350 pelajar.

 Namun yang datang senriasa lebih. Non muslim yang turut bertalam, menceriakan suasana.

 Riuh-rendah. Secara jujurnya, HES tahun ini sangat-sangat mantop

 Dan keceriaan petugas-petugas yang hanya berlaukkan "lebihan makanan". Moga terasa erti hidup pada memberi

Dan ini hanya contoh kecil dari sebuah badan dakwah kolej.

Belum lagi dilihat orang-orang hijau yang meninggalkan keluarga untuk sebarkan Islam. Masuk ke ceruk-ceruk kampung dengan biaya sendiri. Turun ke pasar-pasar menerang tentang hukum Allah. Mengatur seribu satu program, yang hakikatnya mereka tidak beroleh satu sen pun "gaji" dari penat lelah mereka itu.

Tetapi dengan selambanya, prof-prof, doktor-doktor, ustaz-ustaz, dato'-dato' ini mengkritik dan memperbesarkan kelemahan yang ada dengan mengecilkan kelebihan yang terserlah nyata.

Kepenatan yang sudah tiada daya, kritikan-kritikan itu mendapat sambutan dari si pemalas yang bertenaga dek kerana tiada kerja.

Maka yang rajin-rajin itu digelar pentaksub, jumud, wala'un, kaki label, ganas, sesat oleh orang-orang yang menganggur dari kerja-kerja Islam... Dan rutin itu terus berlarutan.. Hinggalah yang malas-malas kelihatan menang, dan yang rajin-rajin kelihatan sepi dengan kekalahan.

Sedang mereka semakin kuat hubungan dengan Allah, dan mereka sudah tidak lagi takut dengan kritikan orang-orang yang mengkritik...

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Buat anak-anak yang baru berjinak dengan kerja dakwah dan Islam. Sibukkanlah dirimu dengan kerja-kerja di alam realiti. InshaAllah, kerja-kerja tangan itu menjauhkan kamu dari imaginasi. Yang membawa kamu ke syurga ialah amalmu di dunia, sedang yang kerap menyeretmu ke neraka ialah lidah, yang hari ini semakin meliar fungsinya di jari-jemari.

Daripada Muaz, Rasulullah bersabda: "Mahukah kamu jika aku katakan kepadamu tentang sendi daripada semua kebaikan?"
Jawab Muaz, "Ya, kami nak tahu." Maka Rasulullah s.a.w menunjukkan sendi kebaikan itu pada lidahnya dan berkata, "Jagalah ini."
Muaz berkata, "Wahai Rasulullah, adakah kami akan mendapat seksaan akhirat daripada ucapan kami?"

Rasulullah menjawab, "Betapa azabnya Muaz, orang yang tersungkur di dalam neraka itu melainkan hasil daripada menabur fitnah melalui lidah mereka. Akhirnya mereka menerima seksaan daripada Allah."


Istiqomahlah, semoga Allah membalas amal-amal solehmu...


Melihat anak-anak ANC, aku merindui zaman ini


 Versi soleh

Waktu masuk air

"saya dak kisah kamu tudung labuh ke, tudung pendek ke, sekolah agama ke, hafal hadiths bagai ke, peminat kpop ke, yang penting kamu komited... rasa nak berubah dengan islam. saya dah lihat macam-macam orang keluar dari ANC. bukan sebab mereka tidak beragama, tetapi kerana sombongnya mereka dengan ilmu agama yang mereka rasa ada. lalu Allah tarik mereka keluar... dan Allah gantikan mereka dengan yang jauh lebih baik.."

Sekian dari Syuib0809