Sunday, 29 March 2015

Sahabat Sekatil

Bismillah

Hujung minggu yang sangat-sangat padat. Unit matematik menganjurkan pertandingan bowling dan aku tiada pilihan melainkan wajip hadir sebagai juruacara. Kehadiran keluarga dari Teluk Intan memeriahkan lagi suasana, menambah sebab perlunya aku berada di sini. Kemunculan sebuah lagi program yang memerlukan kehadiran diri, aku akhirnya berputus asa mencari celah-celah masa untuk melarikan diri. Janji yang pernah dilafazkan, namun bukan mudah untuk ditepati.

Seorang sahabat satu dorm, satu katil(atas bawah), satu kelas, maka Baith a.k.a baceh bukanlah orang asing bagi aku. Walaupun kami mula rapat ketika di tingkatan 3, namun tiga tahun bersama itu di isi dengan sangat-sangat baik. Mengenali dengan sangat rapat, aku dan sopek amat pasti apa yang Baceh suka, bila Baceh marah, bila dia akan terasa, dan seingat aku mereka berdua nilah orang yang aku hampir tak pernah terasa hati. Menjadi ketua kelas yang sempoi, Baceh sukar untuk dikatakan "skema" dan dalam masa yang sama sukar juga untuk dikatakan nakal.

 Baceh tengah Sodorm. Sopek nampak putih sebab flash je. Mungkin juga sebab bedak.

Menyambung pelajaran ke Dublin, Ireland, maka kami berjumpa hampir setiap tahun. Pertama sekali di Scotland kerana menghadiri perhimpunan musim sejuk. Malah baceh sendiri pernah bermalam di rumah aku ketika menghadiri Nottingham games. Dan sangat-sangat bersyukur bila Baceh sudah berjinak-jinak dengan usrah dan sangat komited dengan dakwah. Sesuatu yang mungkin di luar jangkaan, namun aku sangat-sangat gembira walaupun kami berada dalam "kumpulan" yang berbeza. Melihat rakan baik menjadi sehebat begitu dengan tarbiyah, maka aku berharap semua rakan-rakan sekeliling terbuka hati mengikutinya.

Blog yang menjadi arkeb gambar. Winter 2009. Locklomond.


 Kunjungan ke Leicester.

Pulang ke Malaysia, kami kerapkali ditemukan oleh Allah. Baceh menyambung pengajian di PMC(Penang Medical College) manakala aku pula mengikuti KPLI di IPG Pulau Pinang. Tempat pertemuan kami ialah di medan selera Taman Tun Sardon ketika hujung minggu. Pertemuan di awal pagi, Baceh biasanya hadir seusai Kuliah-kuliah subuh yang diikutinya bersama rakan seusrah. Hebat.

Pertemuan-pertemuan yang berterusan terutamanya  di majlis-majlis perkahwinan rakan satu Batch, kini tiba giliran baceh untuk menjadi orang yang diraikan. Selalu benar aku berazam untuk hadir kenduri rakan-rakan, tiba-tiba aku tidak mampu memenuhi undangan dari rakan yang sangat-sangat rapat. Maaf.

Sedih tiada dalam gambar. Kalau ada kenduri belah lelaki, boleh tebus kesalahan.

Baru sebenarnya berjumpa hujung minggu yang lalu di kenuri Balang, maka kami sekali lagi mengambil gambar kenang-kenangan satu dorm. Berimpian mahu hadir ke Walimah Sopek, mamat bajet ganas(tapi pakai baju kartun), Moga-moga Allah permudahkan hajat itu. Menyelitkan gambar "tumbesaran" Batch 19th Dorm B2 sebagai kenang-kenangan. Senakal-nakal kami, solat Fardhu tetap dijaga. Kekuatan yang memelihara diri hingga kini. Thanks Sopek atas Tarbiyah(jelas kesan sujud pada dahinya). Hehe..

 “Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-geriknya teringat mati. Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik tetangga di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap tetangganya.” (HR. Hakim)

Sekian dari Syuib0809..

Sunday, 22 March 2015

Alkisan Bain Balang

Bismillah..
(amaran! Cerita ditulis macam karangan budak darjah 6)

Tahun 2002, 2 orang kanak-kanak mula belajar berdikari di sebuah sekolah berasrama penuh. Wajah yang hampir serupa, bentuk badan gempal yang hampir sama, menyebabkan kebanyakan guru dan senior selalu keliru, beranggapan mereka adalah kembar. Menjadi tradisi para junior pasti diberikan nama gelaran/samaran. Maka, salah satunya diberi nama Balang kerana wajah seiras supersenior dan yang satu lagi diberi nama Bain, tanpa sebarang sebab. Bertambah rapatlah kedua-duanya bilamana masing-masing berkelana dalam kelas yang sama, berjiran dengan dorm sebelah menyebelah di asrama. Hinggalah kalau mereka hidup di zaman moden ini, pasti orang-orang menganggap mereka sebagai BFF.

Dalam dewan(PMR 2004) duduk depan belakang sebab Balang(Ahmad Hilmi) dan Bain(Ahmad Izuan)

Namun si Bain, selalu sangat punyai masalah hati. Hatinya penuh ego, suka benar merasa dirinya hebat. Tiba-tiba sahaja Bain tidak mengendahkan teman rapatnya, Balang. Menyembunyikan semua "sebab" dari rakan-rakan, mereka meneruskan kehidupan dengan tidak bertegur sapa selama berbulan-bulan. Sedangkan pada umur 14 tahun ketika itu, si Bain selalu sahja mendengar hadis dari budak-budak surau:

” tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa (kerana pergaduhan) lebih dari tiga hari..yang lebih baik antara keduanya adalah yang memulakan salam” ( al-Bukhari)

Di penghujung 2003, mereka kembali bergurau senda. Membaiki hubungan agar kembali seperti dahulu. Ketika ini, Balang sudah semakin kurus dan hensem. Malah, semakin mencipta nama dalam sukan Hoki di peringkat daerah. Kadang-kadang, tersenyum Bain teringatkan dahsyatnya usaha si Balang nak kuruskan badan. Pantang sahaja lalu kawasan cermin blok B menuju ke dewan makan, pasti si Balang mengukur perutnya. Namun ukhwah kali ini tidak bertahan lama. Syaitan berjaya menguasai hati si Bain. Si Bain menjauhkan jaraknya, bukan berbulan-bulan. Tetapi bertahun-tahun. Hinggalah tamat sesi persekolahan tahun 2006. Dahsyat.

2006, sebaik tamat SPM.

3 tahun, gosip dan spekulasi tersebar dalam batch 19th kononnya Bain dan Balang bergaduh. Sedangkan, tidak pernah mereka berdua maki memaki, tumbuk menumbuk, berkelahi mahupun memburukkan antara satu sama lain. Keadaan yang ganjil ini, menyebabkan istilah Bain Balang kerap menjadi bahan gurauan.. Niat rakan-rakan yang mahu mendamaikan, tetapi kerap menemui jalan buntu kerana pendamaian hanya untuk "peperangan". Mahu menyediakan ruang untung saling memaafi, tetapi tiada apa untuk dimaafkan. "Misteri" yang hanya si Bain tahu. Langkah yang diambilnya supaya tidak memburukkan lagi keadaan. Mudah-mudahan ada jawapan dengan Tuhannya.

Tamatnya zaman persekolahan, masing-masing membawa diri ke arah yang berbeza. Jauh merentas benua, si Bain mengikut perkembangan bekas sahabat baiknya. Media sosial yang ditembusinya secara sembunyi-sembunyi, menemukannya dengan kisah Balang di alam remaja, kesedihan Balang tatkala ayahnya diuji dengan penyakit, kisah cinta yang samar-samar, semuanya diseludup dengar. Mudah-mudahan dipermudahkan..

Reunion 2009, menjadi tempat berkongsi kisah-kisah rakan. Dan macam biasa Bain Balang mesti kena "bahan".

2013 di kenduri Pak Sham..

Kini, Balang bertemu jodohnya. Dan Si Bain, dengan muka temboknya selamba je datang. Mahu meraikan, walaupun kurang pasti adakah kehadirannya diizinkan. Melihat bekas sahabatnya di atas pelamin, Bain hanya berharap agar Tuhan memberikan kefahaman agama kepadanya.

“Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka Dia akan memahamkan baginya dalam urusan agam."



Tahniah.. Mudah-mudahan peroleh kebaikan dari Tuhan.

Itulah kisah Bain Balang..




Sekian dari Syuib0809.




Thursday, 19 March 2015

MLC: Diari Jiwang di Musim Kahwin.

Bismillah.

Hari kedua di MLC, peserta dihidangkan dengan aktiviti meredah sungai secara berkumpulan sambil membawa botol berisi air. Aku yang ditugaskan melihat laluan air, terus terjun ke dalam sungai dengan berpakaian sukan tengah hari tu. Sebaik sahaja naik dari anak sungai, aku terus bergegas menuju ke Tg Malim, menghadiri kenduri satu lagi pasangan Batch 19th dari SEMESTI. Kenduri yang secara teknikalnya empunya badan tidak dijemput. Jadi, segan nak makan. Aduihh..

Kedua-duanya pernah menjadi rakan sekelas aku. Pengantin perempuan yang kami(budak laki) panggil Mazza, sekelas dengan aku dari form 1 sampai form 3. Ada dalam gambar penghias utama blog ni kat atas sekali. Tapi kami tidak punya kenangan-kenangan yang "baik" sebagai rakan sekelas. Sebab aku "anti-perempuan" dan memang selalu bermasam muka dengan 3 sekawan tu(mazza, farahunny, anina). Memori2 ketika tidak matang, bila diimbas kembali memang kelihatan kelakar. Tapi pengantin lelaki, si Azim adalah sahabat baik aku yang duduk se"meja" dengan aku. Seorang yang punya hati lembut walaupun kuat main sukan-sukan lasak. Peribadi yang unik, sangat menghormati manusia.. Cuma menarik, tidak sangka mereka bertemu jodoh.

 6 sekawan sebelum Bayern meninggalkan kami. Poyo

Sampai di tg malim jam 1.30 tengah hari, aku tidak punya masalah mencari rumah pengantin kerana pernah ziarah ketika azim kehilangan ayahnya. Bertemu dengan rakan-rakan lain yang kebanyakannya kaum hawa, tiba-tiba kelibat pasangan ni mencuri perhatian aku. Si jejaka berbadan sasa tetapi berbaju SEMESTI, Sopek sekali lagi mencuri perhatian awam. Kali ini, mamat ni datang dengan bakal isterinya. Tak berniat nak mengganggu pasangan tersebut, aku bersembang dengan Supin dan Gibak sahaja. Entah macam mana Sopek boleh perasan kehadiran aku, dia terus berhenti makan dan datang kat aku. Perkara-perkara kecil sebegini, sebenarnya melambangkan kehebatan akhlak mamat ni, yang kononnya kelihatan Ganas. Dan aku sangat-sangat seronok untuk menghargainya.

Rileks je tinggalkan awek dia. Thanks Yenna for the photo.


Orang sibuk baca doa, time tula nak tangkap gambar. tu pasai tangan semua macam tu.

Menghadiri kenduri kahwin rakan sebaya, melihat rakan-rakan yang hadir dengan bakal pasangan, secara jujurnya mengganggu akal yang begitu berusaha untuk berhenti memikirkan tentang kahwin. Bukan sebab tak nak mendirikan rumah tangga, namun persoalan-persoalan yang hadir kerapkali tergantung, mengganggu urusan-urusan lain yang lebih memerlukan buah fikiran. Pulang ke Ulu Yam kembali, otak ligat memikirkan solusi baitulmuslim yang masih tergantung. Mahu "rujuk" kembali, permasalahan utama masih bertemu jalan buntu. "Cemburu" dengan rakan-rakan yang hadir dengan pasangan, aku bergurau dengan anak-anak pelajar yang majoritinya perempuan. "Saya ni punyalah mengajaq ramai student perempuan. Kalau upah sorang teman saya gi kenduri kahwin boleh gak saya kerek dengan kawan-kawan saya nanti. Setiap minggu tukar-tukar orang, nampak gempaqs sikit. Hah, sapa nak ikut saya?".. Semua geleng kepala tak nak.. Haha.

Entah kenapa, aku mengingati kembali nasihat yang pernah aku berikan pada budak-budak bola tampar yang berusrah dengan aku dalam kereta. Waktu ni semua ligat duk cerita pasal sejarah couple masing2.

"Kita ni duk selalu sangat rasa sedih dalam bercinta, sebab kita berharap orang yang kita cintai itu menjadi jodoh kita. Sedangkan siapa yang Allah jodohkan itulah sebaik-baik untuk kita. Terbaik untuk dicintai, seberhak-berhak untuk mencintai.."

Okeh, jiwang... Bye



Sekian dari Syuib0809.

Monday, 16 March 2015

MLC 2015: Dari Penang ke Ulu Yam.

Bismillah.

Muslim Leadership Camp 2015 sudah melabuhkan tirainya petang tadi. Berkesempatan menghadirinya, maka ia perlu dicatatkan sebagai diari dalam blog ini. Perjalanan yang sangat jauh dari penang, aku sampai ke Nur Lembah Bestari, Ulu Yam petang jumaat melalui jalan lama dari tanjung Malim ke arah Gombak. Menyedari aku tidak pernah sampai ke tempat program lebih lambat dari peserta, maka aku berpendapat itu satu momentum yang patut dikekalkan sebagai MC merangkap kem komanden. Disiplin masa, yang kerap mengganggu perjalanan sesuatu program.

Secara keseluruhan, MLC kali ini sangat seronok dan menghiburkan. Buat pertama kalinya aku bekerjasama dengan SaifulAzmi selaku pengarah modul. Dan tak sangka gandingan kami sangat sempoi. Memang takde lansung stress2, dan modul berjalan dengan sangat-sangat lancar. Kelainan modul kali ini ialah aktiviti-aktiviti LDK dan TeamBuilding banyak tertumpu kepada MC/pengarah modul, tanpa melibatkan fasilitator secara terus. Modul sebegini berjaya mengatasi masalah kekurangan fasi, sekaligus mengurangkan meeting dengan fasi di tengah-tengah malam. Mantopp!

Melihat dari satu generasi ke satu generasi pelajar KY, maka aku melihat kualiti peserta kali ini sangat-sangat baik. Jika melihat Kolej-kolej  mahupun IPTA di Malaysia, kebanyakan respon kerap diberikan oleh pelajar perempuan, manakala lelaki lebih suka mengmbil pendekatan macho dengan tidak bertanya soalan/berdiam diri. Namun MLC kali ni menyaksikan lebihan peserta lelaki berbanding wanita, dan lelaki-lelaki ini sangatlah aktif dan proaktif. Aku bergilir-gilir dengan SaifulAzmi malayan kerenah mereka. Dibantu Hannan dan Shuk serta beberapa org pelajar Senior KYUEM.

 Muka-muka happy dah habis program

Keseronokan mengendalikan program, bertemu dengan sahabat-sahabat lama, antara sebab mengapa aku bersungguh-sungguh hadir walaupun jaraknya tersangat jauh. Dan alhamdulillah, bertemu dengan sahabat yang sudahpu bergelar ayah, Iman dan juga anaknya yang 1st time aku jumpa. Comel!! Bertemu juga dengan kak Madihah yang selalu menjadi sumber Inspirasi kerana kegigihan beliau untuk hadir ke program MLC/MYC hampir setiap tahun. Ruang kosong yang ada akan aku peruntukkan  sedikit bagi memberi ruang kepada kak Madihah menyampaikan butir-butir nasihat yang sangat bermanfaat. Penyampaiannya yang unik, menghiburkan dan menggerunkan. Haha

Sembang-sembang bersama ustaz Malikie, begitu banyak petua/nasihat yang aku terima. Ustaz yang melihat hampir 15 generasi MUSCOM, maka pengalamannya sangat-sangat mahal. Aku yang kini berjinak-jinak dengan jalan yang hampir sama melihat nasihat-nasihat ini memang sangat-sangat berguna untuk berhadapan dengan anak-anak pelajar yang sedang melalui proses kematangan. Membiarkan masalah-masalah dalaman badan dakwah diselesaikan ahlinya sendiri, lebik baik sebenarnya tanpa penglibatan guru penasihat/alumni/ pensyarah. Dan bila ustaz Malikie bagitahu pesanan Imam Alghazali ini, ia cukup melegakan hati:

Kata Imam Ghazali "Hendaklah kamu lari daripada orang yang baru menuntut ilmu Agama lebih laju daripada kamu lari dari terkaman seekor harimau"



Bersama Ustaz Malikie(baju biru) dan barisan fasilitator

Mahu sahaja "pencen" dari program2 ini dan beri ruang kepada junior yang akan datang memimpinnya. Namun aku ketakutan, kerana inilah peluang-peluang emas menjana pahala berterusan. Mata wang yang tidak pernah laku di dunia, namun sangat bernilai di alam Akhirat. Percayalah kepadanya walaupun orang-orang disekeliling mengejekmu.

Sekian dari Syuib0809.

Sunday, 8 March 2015

Sejarah Anak Muda

Bismillah.

Merenung kembali zaman-zaman ketika pertama kali bergiat di dalam badan dakwah. Orang muda belasan tahun yang penuh dengan motivasi dan semangat, maka "hati"nya kurang menjadi cermin sisi. Mahu melakukan segala-galanya tanpa menoleh belakang melihat sejarah, maka diri kerap benar memberontak. Bila program-program tarbiyah, dakwah, Islam kelihatan seolah-olah "disekat" oleh pentadbiran dan orang-orang tua, kami mudah melabel. Membuat kesimpulan-kesimpulan sumbang, kononnya individu-individu itu tidak faham agama.

Acapkali, kami merancang program-program sendiri. Bila keputusan sudah diambil, baru akan dimaklumkan pada guru penasihat. Merasakan diri sudah matang, membuat keputusan berjemaah sesama kami sudah kelihatan berkesan tanpa penglibatan guru penasihat. Hinggalah aku dan rakan-rakan tersedar, betapa hebatnya ustaz (guru penasihat) sebenarnya. Orang yang menubuhkan badan dakwah dan menyuburkan kerja-kerja Islam bertahun-tahun di Kolej. Sayangnya, kami tidak berjaya memanfaatkan sepenuhnya kehebatan beliau. Kesedaran yang muncul di hujung-hujung sesi, kami terlepas mengutip butir-butir nasihat dan pengalaman darinya.

 Bersama Ustaz Malikie dan Ustazah Husna. Sangat-sangat hebat. Tiba-tiba rindu nak kembali pada zaman ni. Ramai yang dah kahwin pun.

Tahun 2015, aku tersepit di antara orang tua dan orang muda. Ustaz-ustaz yabg kelihatan layu dan anak-anak pelajar yang cukup bersemangat, lalu aku kembali melihat pertembungan dua generasi. Si tua yang nasihatnya kelihatan menyekat, maka anak muda suka membuat keputusan sendiri. Kedua-duanya punya niat yang baik untuk Islam, namun anak muda kerap sukar memahami. Ayat-ayat "ustaz tak faham...", "ustaz tak tahu apa jadi....", "ustaz tak pernah..." adalah ayat-ayat anak muda yang mudah merendahkan apabila mereka memberontak. Maka si tua sekadar tersenyum, sabar dengan kerenah anak muda yang sudah mereka temui berkali-kali. Cuma bagi aku yang "mudatua" ini, kata-kata itu mengguris hati kerana ia berlaku pertama kali. Jinakkan egomu..

Menghabiskan sebuah lagi buku dari Misbah Em Majidy, aku tidak pernah jemu menghadam kisah-kisah dan hadis yang dimuatkan dalam buku beliau. Walaupun semangat membaca tidak lagi seperti dulu, bacaan ringkas ini menemukan aku dengan pelbagai kisah menarik di zaman Rasulullah dan Sahabat. Kisah-kisah yang menajamkan kembali cermin sisi, bahawa apa yang sedang berlaku sebenarnya sudah pun pernah berlaku.



Kisah golongan ansar yang mem"persoal"kan tindakan Rasulullah memberikan harta Ghanimah dari peperangan Hunain kepada orang-orang mekah yang baru memeluk Islam, adalah sebuah kisah yang mahsyur kerana jawapan Rasulullah selepas itu. Namun yang menarik perhatian aku ialah bilamana orang-orang "lama" dalam kaum ansar memberitahu kepada Rasulullah, yang mempersoalkan tindakan Rasulullah itulah adalah orang-orang muda Ansar. Nabi tidak marah, tidak mengherdik anak-anak muda tersebut, tetapi menjinakkan hati-hati mereka..

Sesungguhnya aku telah mendengar rungutan-rungutan kamu. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, jika bukan kerana hijrah, tentu aku termasuk golongan Ansar. Jika para sahabat menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah yang lain, tentu aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu orang-orang Ansar..

Apakah di dalam hati kamu wahai kaum Ansar masih terdetik hasrat kepada dunia? Sedangkan dunia itu aku pergunakan untuk mengambil hati segolongan orang agar memeluk Islam. Sementara terhadap keislaman kamu, aku tidak lagi meragukannya. Wahai kaum Ansar, apakah di hati kalian tidak gembira jika mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kamu pula pulang bersama Rasulullah?"


Banyak lagi kisah/hadis menarik dalam buku ini. Secara jujurnya sangat-sangat berbaloi untuk dimiliki. Antara kisah lain yang cukup aku minat ialah kisah paderi najran yang berjumpa dengan Rasulullah. Dialog yang membezakan konsep tauhid antara kita dan mereka. Bacalah. Dan satu lagi hadis ialah hadis penuh dari kata-kata nabi yang famous dalam usrah "Aku rindu saudaraku..."

Maka, itu sahajalah setakat ni.

Sekian dari Syuib0809.