Friday 29 March 2013

AlQuran, Hadis dan Bible

Bismillah.

Baru pulang dari perjalanan yang jauh menuju ke negara Jiran. Perjalanan yang memakan masa 4 hari 4 malam sebenarnya banyak dihabiskan ruangnya di atas bas. Tak pasti berbaloi atau tidak, namun aku berjaya menghabiskan sebuah lagi buku yang aku beli dengan baucer buku 1Malaysia hari tu. Menilai Persamaan Dalam Alquran, Hadis dan Bible Mengenai Kehidupan Manusia sebenarnya buku yang aku dah mula baca sejak kem KRS hari tu lagi. Namun sebab sibuk dengan macam-macam benda, hampir dua minggu lebih baru aku dapat habiskan baca buku ni.

Pada mulanya, aku sedikit ragu dengan kualiti buku ni sebab penulisnya sangat-sangat muda. Dan maklumat mengenai penulis tu hakikatnya memang memberi tanggapan kurang baik aku terhadap buku ni. Sebab aku risau akan disiplin ilmu beliau dan takut akan huraian yang bakal dinukilkan dalam buku ni. Jadi, nak tak nak memang kena berhati-hati. Tapi selepas tamat membaca buku ni, aku sangat berpuas hati dengan rujukan yang diberikan dan oleh kerana beliau kurang menghurai, buku ni menjadi lebih meyakinkan dengan kata-kata yang diambil dari tokoh lain.



Walaubagaimanapun, buku ni memang sangat banyak memberi input baru mengenai agama kristian sebab secara realitinya memang susah nak lihat mereka mengamalkan apa yang ditulis dalam bible. Malah, banyak buku yang ditulis oleh orang Islam mengenai bible berkisar mengenai konsep trinity. Tapi buku ni banyak memberitahu mengenai "Fikah" orang kristian yang hakikatnya sedang ditolak sendiri oleh orang kristian.

Antara perkara menarik dalam buku ni ialah:

Haram makan babi bagi orang kristian
Hukuman rejam kepada penzina tertulis dalam bible
Agama kristian menggalakkan bertudung?
Poligami dalam agama kristian, boleh atau tidak?

Macam-macam lagi sebenarnya. Tapi kalau nak tahu kenalah baca dan beli sendiri. Cuma aku tak galakkan remaja-remaja baca sebab ia bakal menyebabkan amalan PLURALSIME dalam agama bagi mereka yang tidak faham Islam. Biaq perabih baca Quran dulu sebab hanya Islam agama yang diredhai oleh Allah. Cuma, sebagai kaedah dakwah, kita boleh gunakan buku ni sebagai satu asbab untuk berdialog dengan orang bukan Islam.

Mereka yang benar-benar baca bible, maka dia akan cenderung untuk memahami dan mempercayai AlQuran. Kerana ternyata sungguh banyak perkara dalam bible yang telah diseleweng, namun masih ada sebahagiaanya menunjukkan ia datang dari Pencipta yang sama. Cuma kalau orang kristian sekadar beragama untuk meraikan krismas, ikut artis, nak bajet jadi masyarakat barat(bajet Amerika), maka mereka-mereka ini memang bukan orang yang patut beragama.

Buku seterusnya : Manhaj Fiqh Wasatiyah

Sekian dari Syuib0809

Friday 22 March 2013

Buku Hasani

Bismillah

Minggu terakhir yang sangat sibuk di maktab. Sebaik sahaja balik dari kem KRS, kami bertungkus-lumus menyiapkan segala persediaan menjelang Malam Citra Budaya. Benda ni ialah projek terakhir untuk kelab kebudayaan sebelum kami semua keluar beramai-ramai menunaikan praktikum. Dan nak tak nak, memang banyak masa yang perlu diluangkan untuk projek ni memandangkan kami adalah penganjur, pembuat persembahan dan juga merupakan penonton utamanya. Dan akibatnya setiap malam aku sangat penat, tak dapat nak buat apa yang aku nak buat.

Semalam, rakan-rakan KPLI semuanya pergi keluar untuk makan malam. Aku plak tetibe rasa nak berseorangan, kembali ke gua sendiri. Lepas solat isyak, balik bilik dan terus bertapa. Kadang-kadang memang terasa tenang berseorangan memikirkan apa yang nak difikirkan. Secara jujurnya, persiapan malam kebudayaan ini menyebabkan aku tak berapa nak sentuh buku-buku yang aku beli. Padahal 150 ringgit baucer buku dah habis untuk beli buku-buku seperti di bawah ni.









Aku sebenarnya rasa aku beli 7 buah buku, tapi bila cek balik tadi ada 6 buah je. Tak tahulah mana lagi satu pergi. Buku-nuku ni tarik dari rak waktu pergi kedai buku Hasani kat kawasan seberang. Banyak buku dia, tapi sebab masa suntuk, aku tak boleh nak pilih dengan cerewet sangat. Sekarang tengah baca buku persamaan alQuran, Hadis dan Bible. Menarik gak buku dia,

Tak larat nak tulis panjang-panjang.

Selamat bercuti.

Sekian dari Syuib0809

Saturday 16 March 2013

Minat, kekal sebagai Minat

Bismillah.

Minggu ni tak dapat nak menghabiskan apa-apa buku. Hanya sempat baca 1/3 buku mengenai Quran dan Bible. Kami semua berkampung di IPSAH selama 4 hari 3 malam untuk kem KRS yang wajip untuk kami ikuti. Penat, tapi menyeronokkan.

............

Semenjak awal tahun hari tu, ada beberapa rakan mula menyedari perubahan perangai aku kepada perempuan. Waktu kem KRS, seorang ahli kumpulan aku sendiri cakap "Izuan waktu kat Leicester memang tak tegur lansung perempuan. Jumpa tepi jalan pun tak pandang". Memang dahsyat perangai aku tiga tahun kat Leicester kot. Masuk kelas memang dengan perempuan melayu lansung tak cakap. Pelik. Dan tetibe, kat maktab, menjadi tak segan dan banyak cakap. Aku sendiri menyedari benda ni.

Waktu duk memanggang bahan-bahan BBQ, "kak" audrey ang yang kelas dengan aku pun tetibe cakap "Izuan dulu waktu mula-mula masuk tak berani dengan saya, sekarang dah berani macam ferd dengan zizan ye". Hmmm, memang menarik beberapa bulan di maktab jauh berbeza dengan 3 tahun di UK. Malah, rakan-rakan aku seperti cuan dan aiman pun mengalami perkara yang sama. Waktu kat lancaster tak pernah lansung nak tegur, kacau 3 perempuan melayu Maths. Sekarang, memang dah dahsyat sungguh rapatnya kami satu kelas hingga boleh berjenaka di antara satu sama lain.


Adakah faktor umur?
Faktor persekitaran maktab?
Atau sebab terlalu banyak aktiviti kami bersama?
Hinggakan kami tidak segan untuk membicarakan soal perkahwinan di dalam kelas

Memang tak dapat dinafikan mulut aku sangat banyak mengeluarkan kata-kata mengenai perkahwinan sejak beberapa bulan ni. Dalam kelas, dalam usrah, saat bersembang dengan rakan-rakan, semua nasihat yang aku kira berguna cuba aku selitkan untuk rakan-rakan yang sudah melonjak ke umur memikirkan perihal jodoh. Poyo atau tak poyo, itu hanya komen hodoh dari orang yang tidak matang. Sekarang dalam kelas ada pulak yang cuba menjodohkan rakan-rakan muslimin dengan muslimat yang masih available. Mangsa terbaik ialah Safuan.

Memikirkan soal jodoh, aku juga kadang-kadang terasa serabut. Satu demi satu kebimbangan, kekeliruan, ketakutan datang saat mahu memilih seseorang untuk dijadikan teman hidup. Memikirkan diri yang terlampau banyak ketidakkelayakan, aku rasa hidup membujang mungkin pilihan yang lebih baik dari menghancurkan harapan seseorang yang layak mendapat teman hidup lebih baik. Dan dengan alasan ini, aku akhirnya terus menjadi penakut untuk meluahkan isi hati yang ada dalam diri. Di umur 24 tahun, minat kepada seseorang hanya kekal sebagai minat. Tidak lebih dari itu sejak darjah 6, mahupun tingkatan 3 ataupun ketika berada di kolej. Entah bila agaknya tempurung itu akan pecah, aku pun tak pasti.

Tu sahaja kot nak tulis. Akhir kata, aku pun tak pasti macam mana jawapan poyo ni datang waktu aku di soal mengena poligami di dalam kelas Tamadun islam.

"Saya menyokong poligami tetapi berhajat untuk kekal dengan satu isteri. Saya rasa itu adalah hadiah terbaik yang dapat saya berikan kepada isteri saya, kerana sudi menerima saya dengan segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri saya." Fuhh..

Aku pun tak pasti siapa "isteri" dalam ayat di atas.
Untuk itu, terima kasih kerana sudi menerima si gemok ini



Petang tadi dimaklumkan pemergian seorang senior SEMESTI, Iman Syafiq yang kemalangan ketika menunggang motosikal. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan. Seorang yang banyak gak kenangan dia dengan kami semua, si budak bola tampar.

Sekian dari Syuib0809.



Monday 11 March 2013

Sup Ayam untuk Hati

Bismillah.

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga habiskan buku Chicken Soup for the Soul setebal lebih 400 mukasurat. Buku ni bukanlah buku yang berat, namun mahu meneruskan membaca buku setebal ni memang susah sebenarnya. Aku mula baca waktu ROS 2 minggu kemudian beralih ke buku lain sebelum kembali balik baca buku ni minggu lepas. Oleh kerana buku ni lebih kepada himpunan cerita-cerita, bukan kajian mahupun fakta, mungkin ada yang kurang meminatinya.



Aku sendiri tak berapa minat dengan buku ni. Banyak sangat bercerita, menyebabkan pembaca tidak perlu menghafal apa yang dinukilkan dalam buku ni. Cukup sekadar membaca seimbas lalu dan cuba mendapat kesimpulan ataupun pengajaran yang ingin disampaikan dari kisah tersebut. Cuma, aku tertarik dengan kata-kata pujangga, hikmah, motivasi yang diselitkan dalam buku ini sebelum setiap kisah bermula. Antara yang sangat aku ingat ialah

Semua orang merungut kenapa pada mawar, masih perlu ada duri yang tajam. Namun saya pula bersyukur dalam banyak-banyak duri tersebut, ada satu yang indah iaitu bunga mawar.

Anak kunci hanya menghalang orang baik daripada memasuki rumah kita.

Bagi mereka-mereka yang sedang ditimpa ujian, musibah, accident, penyakit, buku ini mampu memberi sedikit motivasi untuk kita mengubah sudut pandang masing-masing. Mahu atau tidak mahu, sikap positif kita pada sesuatu perkara sangat banyak mengubah hidup kita. Dan di dalam buku inilah boleh dilihat contoh-contoh dalam dunia realiti tentang hebatnya berfikiran positif. Antara sebab utama aku baca buku ni sebab nak ubah paradigma diri supaya sentiasa bersikap positif dan tak kuat merungut. Entah berjaya ke tidak. Wallahualam.

Mingu-mingu terakhir ini sangat sibuk dengan macam-macam projek dan assignment. Sekarang ni pun aku baru balik dari kelas PJ yang menguji kemahiran "gymnastic" kami. Esok, pula bakal menghilangkan diri menuju ke IPSAH untuk perkhemahan KRS. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan.

Buku seterusnya. Menilai persamaan dalam Al-Quran, Hadis dan Injil

Sekian dari Syuib0809

Monday 4 March 2013

Taktik dan Strategi Berpolitik

Bismillah.

InsyaAllah aku tidak akab menulis dengan panjang. Sekadar mengupdate dan memberi sedikit review mengenai buku terakhir yang aku baca iaitu Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Arrasyidin. sebuah lagi karya dari pemimpin PAS iaitu Tuan guru Haji Hadi Awang. Pada awalnya, aku menjangkakan buku ni sebagai buku yang akan banyak membincangkan politik ke"partian". Tapi rupa-rupanya ini adalah sebuah buku sirah yang membicarakan tentang kepimpinan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah.

Secara keseluruhan, buku ini memang sangat seronok untuk dibaca terutamanya beberapa kata-kata Khalifah Abu Bakar yang sungguh mentarbiyah hati-hati si pembaca. Catatan buku ini dimulakan dengan kisah kewafatan Rasulullah sehinggalah kepada perlantikan khalifah pertama di kalangan para sahabat iaitu Saidina Abu Bakar r.a.


Kisah Abu Bakar menentang golongan orang murtad dan tidak membayar zakat merupakan kisah-kisah yang sangat menarik minat aku untuk baca buku ni. kalau di sekolah, mungkin hanya bicarakan perkara ni secara umum, tapi dalam ni ianya lebih terperinci. Bagaimana perkara tersebut sebenarnya berlansung sedangkan nabi beritahu

Aku diarahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan Dua Kalimah Syahadat. Sesiapa yang mengucapkannya bererti dia dan hartanya bebas daripada aku kecuali dibenarkan oleh syariat dan segala-galanya terserahlah kepada Allah s.w.t untuk menentukannya

Kisah-kisah lain seperti kehadiran nabi palsu, perkara-perkara merepek yang mereka buat sememangnya menaikkan kemarahan pembaca, sebab diorang dengan selambanya menghalalkan apa yang haram, malah merubah ibadah solat yang telah diwajipkan. Kehilangan nabi, memberi kesan besar sehingga ramai orang seperti layang-layang yang tidak bertali, lalu kembali murtad. Maka, sumbangan Abu bakar dalam menyelamatkan akidah umat Islam ketika itu sangat-sangat bermakna dan patut diingati oleh umat islam pada hari ini.

Kisah seterusnya bersambung kepada peperangan menentang Rom dan Parsi. pada peringkat ni, mungkin pembaca akan sedikit pening kerana terlampau banyak fakta yang diberikan kerana Islam ketika itu melawan dua empayar yang sangat besar di dunia.

Mungkin aku sedikit hampa sebab buku ni hanya cerita kepimpinan Khalifah Abu Bakar sahaja. Mungkin tok guru nak buat bersiri kot. Tapi memang patut baca sebab kita akan lebih menghargai Islam yang kita dapat pada hari ini. Dan ucapan Abu bakar memang TeRBAIK!

Sekian dari Syuib0809