Thursday 27 September 2012

Dunia Baru

Bismillah

Sudah dua minggu berada di tempat baru. Bersama kawan-kawan lama dan menjadi "orang-orang tu" walaupun masih bergelar junior.

IPG pulau pinang, tempat baru untuk aku meneruskan cita-cita yang masih banyak lompongnya. Secara jujurnya, aku terkejut dengan bermacam-macam benda dekat sini. Mungkin aku boleh dianalogikan sebagai burung yang kembali ke dalam sangkar. Memang bakal-bakal guru dibiasakan dengan suasana di Sekolah, dan kepatuhan adalah perkara utama di sini.

Aku sangat suka dengan beberapa pensyarah di sini. Memang ternyata, mereka bukan calang-calang orang. Melatih guru untuk mahir, hampir dalam semua bidang memang satu kerja berat. Siapa nak jadi cikgu, tidak semudah hanya belajar di University. Dan siapa-siapa yang nak keluarkan Fakta kerja cikgu senang, silalah jadi cikgu. Nak tengok berapa lama boleh tahan.

Apepun, aku masih bermasalah dengan Sistem. Entah mengapa, itu yang aku masih cari. Keutamaan dan Peranan Islam dalam Sistem Pendidikan kita.

Tak larat nak menulis. Tunggu internet pada masa akan datang

Sekian dari Syuib0809

Saturday 15 September 2012

MYC 2012 : Towards Professional Muslim

Bismillah

Sudah dua minggu MYC 2012 berlalu. Oleh kerana aku baru je dapat gambar, jadi teringin nak kongsi kat sini. Jzkk burhan selaku jurukamera dan juga penyunting video untuk program Muslim Youth Camp kali ni.

Towards Profesional Muslim

Tema untuk tahun ini, mengajak peserta yang rata-ratanya akan melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk berbangga dan menjadi duta Islam. Pengarah teknikal program, si Aslam walau bagaimanapun mungkin sedikit kecewa. Program yang sepatutnya dihadiri 70 orang pelajar KYUEM hanya berbaki 30 orang bilamana macam-macam sponsor yang buat aktiviti berwajip untuk anak-anak buah mereka.



Walaupun mengalami penyusutan lebih dari separuh, MYC kali ni bagi aku mempunyai kekuatan yang tersendiri. Dan aku boleh katakan kekuatan utamanya ialah Penceramah dan juga Pesertanya.

Peserta: Kualiti Vs Kuantiti

Aku sebenarnya pertama kali jumpa kedua-dua batch Junior KYUEM ni. Ternyata beberapa tahun ni yang masuk kolej bukan calang-calang orang. Dan sponsor pelik-pelik seperti Maybank dan Teraju sudah mula menaja pelapis-pelapis mereka. Paling aku takut ialah dengan National Scholar yang dapat tajaan tanpa mereka minta. Alasannya mudah. Mereka adalah pelajar-pelajar terbaik Malaysia.

Walaupun bilangan yang hadir ke MYC ni sangat sikit, tapi peserta yang hadir sangat berkualiti. Rata-ratanya kuat memberi respon, suka bertanya soalan dan suka juga menjawap soalan. Menarik, banyak muslimin yang suka merespon walaupun bilangan mereka hanyalah 9 orang. Satu budaya yang sukar untuk kita dapat sekarang. Adik-adik muslimat juga banyak yang bersemangat untuk berkongsi. Semangat itu menjadikan MYC kali ni sangat hidup dan Meriah walaupun kuantitinya tidaklah sebegitu gempaks.

Penceramah dan Panelis

Alhamdulillah, pengisian dari penceramah sangatlah membuka mata peserta dan juga Fasilitator. Post yang lepas aku dah ceritakan mengenai Ustaz Hasrizal. Namun ada lagi seorang penceramah yang best iaitu Saudara Hilal Asyraf. Pertama kali aku jumpa beliau, tapi cara beliau mengupas tajuk "Tujuan Hidup" sangat-sangat lain dari yang lain. Selalu orang banyak tekankan Tujuan Hidup beribadah berbanding menjadi Khalifah. Namun kali ni, banyak konsep menjadi Khalifah di muka bumi ini yang ditekankan. Betapa pentingnya perancangan kita dalam mentadbir Alam ini mengikut panduan AlQuran dan Sunnah. Tapi nak tak nak kita perlukan juga ilmu lain yang menjadi "cara" dan "kaedah", supaya kita kekal berpijak di bumi yang nyata.




Penceramah lain ialah Ustaz Nasir yang menggantikan Ustaz Anhar untuk sesi "Tanyalah Ustaz". Aku agak tak fokus untuk slot ni sebab sedikit keletihan dan kurang jelas dengan suara Ustaz. namun mungkin yang aku boleh kutip sikit ialah mengenai bagaimana perancangan-perancangan yang dibuat untuk menyebarkan Islam, perlu dibuat secara beramai-ramai. Yang lain, banyak juga peserta yang bertanya mengenai Hukum Fiqh.

Untuk Forum, aku sangat tertarik dengan idea akmal amri. Jadikan benda yang kita minat sebagai medium untuk kita lakukan kerja Dakwah. Bukanlah idea baru, namun bahasanya mudah untuk difahami. Panelis lain aku tak dapat tangkap sangat kata-kata diorang. Salah Mikrofon dan salah aku gak sebab duduk belakang.




Kalumpang Resort & Training Centre.

Kali kedua aku ke tempat ni. Kali pertama ialah waktu MYC 2009. Tempat yang sangat cantik dan dengor kata, sangat mahal gak. Kami dapat duduk dorm yang boleh memuatkan sekitar 40 orang dengan 5 bilik air. Tapi oleh kerana peserta sikit je, masing-masing boleh ambik dalam 3 katil sorang. Cuma panas sikitlah siapa yang tidur katil bawah sebab kipas die tergantung kat dinding.


Berbeza dengan 2009, KRTC kali ni dilanda krisis lalat yang sangat teruk. Pemandangan yang cantik dimusnahkan dengan kehadiran lalat yang sangat-sangat banyak. Bukan tempat makan je yang penuh, malah dewan untuk ceramah yang kami gunakan juga diserbu oleh lalat-lalat ni. Sampai terpaksa guna kertas gam perangkap lalat. Memang rimas lah sepanjang berada kat tempat tu.


Kesimpulan?

Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang dapat hadir untuk MYC kali ni. Memang terasa kalian semua orang yang sangat terpilih. Mudah-mudahan, kefahaman hidup sebagai seorang Dae'i dapat dipraktikkan sepanjang perjalanan sebelum memasuki alam kubur. Jadikan ianya saham besar untuk membawa kita masuk ke syurga. Dan maaf atas kekurangan dari pihak Fasilitator, juga Emcee yang banyak jugak bercakap tak ingat dunia. Penat jadi mc kali ni, banyak sangat benda nak kena "goreng" sebab penceramah selalu terlewat.

Ni gambar terakhir kami. Aku memang mengalami peningkatan berat badan yang kronik.




Sekian dari Syuib0809.

Wednesday 12 September 2012

Mata Lebah atau Mata Lalat?

Bismillah.

Jumaat lepas, aku tetiba terbuka rancangan "Tanyalah Ustazah" kat tv9. Bila tengok prof muhaya yang jadi Ustazahnya, memang aku stay jelah tonton. Mungkin ramai menyangka ianya rancangan untuk wanita, tapi aku boleh katakan lelaki pun sangat bagus untuk menonton rancangan tersebut..

Dalam banyak-banyak yang bertanya soalan, aku agak tertarik dengan soalan seorang ibu dari kuantan yang mengadu macam mana kalau kita sangat susah nak maafkan orang. Bukan kita berhati jahat, tapi kesalahan orang tu terlalu besar sehingga kita memang tak dapat nak maafkan.

Prof Muhaya provoke "Puan, puan suka tak kalau orang maafkan kesalahan puan?"

Ibu jawap "ya, tapi kesalahan dia ni besar sangat. Saya tak dapat maafkan"

Prof muhaya tegur lagi berkali-kali supaya maafkan orang tu walaupun salah die besar. Sehinggalah akhirnya perempuan tu beritahu dia dicabuli oleh seorang ustaz. ............



Tapi jawapan prof sangatlah menarik. Aku ingatkan dia nak salahkan lelaki tu 80% tapi rupanya banyak dia suruh perempuan tu muhasabah diri, fikir bagaimana perkara tersebut boleh terjadi.. Aku sangat tertarik bila prof muhaya suruh Ibu berdikari tadi fokus kepada benda-benda baik dalam kehidupan seperti mendidik anak yang soleh, berbanding fokus benda-benda yang terus menerus membusukkan hati.

Mata Lebah vs Mata lalat.

MYC 2012 banyak memberi anjakan paradigma walaupun aku sudah beberapa kali menghadiri program ni sejak kolej lagi. Walaupun tajuk yang ustaz hasrizal bawakan hampir sama setiap tahun, namun begitu banyak penambahbaikan yang membuka minda para peserta. Dan antara yang menarik ialah mempunyai mata seperti lebah atau mata seperti lalat.

Mata lebah sentiasa mencari bunga walaupun berada di celahan sampah sarap yang kotor..
Manakala mata si Lalat sentiasa mencari-cari benda yang kotor walaupun berada di tempat yang baik seperti taman bunga.

Ada orang melihat perumpamaan ini sesuai digunakan untuk seorang dae'i. Aku mungkin melihatnya sekadar pandangan orang awam. Hidup yang selalu stress dan tertekan kerana memikirkan perkara-perkara buruk dalam kehidupan. Clash dengan awek, gaji sikit, kena marah dengan parents, marah dengan kawan kedekut, pening ahli rumah tak basuh pinggan dan pelbagai lagi benda negatif yang difikirkan setiap hari. Akhirnya menjadikan kita lalat mamalia yang berputus asa dengan kehidupan. Lebih teruk lagi, bila orang buat baik pun kita pandang yang jahat-jahat. Orang bagi ceramah, kita kata poyo!!

Jadilah orang yang sentiasa memikirkan benda positif dalam kehidupan walaupun dikelilingi persekitaran jahiliyah. Contoh terbaik sudah tentulah Rasulullah. Cuma aku lihat daripada duk pening fikir benda-benda negatif yang kita tak mampu nak ubah, alagkah baik kalau kita melihat perkara-perkara yang mampu untuk kita positifkan dan ubah. Melihat anak yang malas baca buku, ajaklah buat sesuatu yang bermanfaat seperti mengemas rumah. Tengok jiran duk mengumpat pagi-pagi akibat menjadi surirumah sepenuh masa, aturkan kuliah dengan ustazah2 yang hanya ada kelas petang.

Macam-macam boleh kita fokuskan. Seperti yang prof muhaya sarankan. Walaupun hidup penuh dengan sampah sarap kejahilan manusia, fokuskan pada benda-benda yang baik.

Cuma masalahnya, adakah kita terus menerus mahu bermatakan si Lalat?
Atau mengimpikan mata yang bersih seperti si Lebah?

Sekian dari Syuib0809

Saturday 8 September 2012

Jagalah Allah, Allah akan Jaga Kamu

Bismillah

10 hari lagi sebelum kembali mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, aku melalui hari yang sangat memenatkan. Jam 6.30 pagi sudah keluar dari rumah menuju ke bus station. Bertolak ke Kuala Lumpur dan kemudian kembali ke Teluk Intan sekitar jam 4.00 petang. Sudah berjanji dengan rakan-rakan untuk pergi ke Sekolah Sains Teluk Intan bagi memberikan sedikit perkongsian. Jadi, terpaksa melepaskan urusan di Kuala Lumpur lebih awal dari yang sepatutnya.

Bas sampai di bandar baru sekitar jam 6.55 petang. Tanpa berlengah, aku terus hidupkan enjin van yang telah terbiar di situ sejak awal pagi lagi. Urusan untuk masuk sekolah menjadi mudah dengan bantuan Cikgu Rohaya, warden bertugas hari ni. Sepanjang perjalanan, duduk fikir apa yang ingin dikongsikan sepanjang usrah bersama junior-junior nanti. Namun, mata masih sedar dengan van yang sedang dipandu.

Bukannya Di Undang

Jam 7.20 petang, aku berada di selekoh sekitar batu 4. Sedang ligat memusing stering ke kanan, tetiba nampak batu besar kat tengah jalan. Dalam keadaan memang sudah sedia ada memusing ke kanan, aku pusingkan sedikit untuk mengelak batu tadi dan ditakdirkan Allah, tayar kanan depan van  pecah tak semena-mena. Akibatnya, van terbabas ke kanan menghala ke laluan arah bertentangan. Bagi mengelak lori tangki minyak yang betul-betul berada depan mata, aku pusingkan sehabis boleh stering ke belah kiri.. Dan..

Van terbalik, dengan tayar berada di atas.
Kemudian terbalik sekali lagi dan kembali ke posisi asal (tayar ke bawah)
Cermin utama(besar) depan dan belakang tercabut dari van, berkecai di tengah jalan.
Hmmm, rasa macam melayang je dalam van waktu berpusing, tapi tangan still kat stering.

Sebaik sahaja kereta berada dalam posisi asal dan berhenti bergerak, aku terus keluar dari kereta dengan keadaan blur. Sangat tak tahu nak buat apa sebab first time terlibat accident. Cuba meraih simpati, tapi tiada siapa pun yang berhenti nak tolong. Tetiba ada sebuah kereta berhenti dan tanya apa dah jadi. Orang lain yang lalu layang hanya terkejut tengok sebab dalam keadaan dua kali tergolek, aku masih boleh berdiri tegak. Hanya tangan yang luka sikit. Tiga lelaki india tolong tolak kereta aku ke tepi. Menarik, tiada sorang pun orang islam yang sudi tolong aku. Terfikir balik, siapa saudara aku sebenarnya?

Meneruskan Misi.

Sebaik sahaja kereta tarik sampai, aku terus menuju ke SEMESTI meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Tumpang pak cik yang punye bengkel untuk bawa ke sana. Dalam keadaan tangan penuh darah, bahu baju koyak, aku terus ke surau untuk tukar baju. Memang aku bawak baju spare takut-takut kotor ke apa, tak sangka memang kotor teruk pun jadinya. Lepas solat maghrib terus kongsikan besama adik-adik, Muslim Tanpa Islam, Islam Tanpa Muslim. Juga, Islam Warisan atau Islam Pilihan.

Oleh kerana banyak benda berlaku, perkongisan agak kelam kabut dan tidak tersusun. Bersama-sama juga ada Nazrul, Fadhli, Dhiyauhaq, Aisamuddin dan juga Adam. Sebenarnya target nak join usrah SEMESTI, sekali Badan Dakwah tiada merancang apa-apa dan terpaksalah bertukar menjadi perkongsian. Lepas Isyak, kami jemput siapa-siapa yang free untuk join sembang-sembang bersama senior. Namun aku terpaksa beredar awal untuk buat report polis.

Alhamdulillah.
Tiada kecederaan yang parah berlaku.
Dalam keadaan kereta banyak pun, aku tiada langgar mana-mana kereta.
Dan dalam keadaan terbalik di tengah jalan, tiada mana-mana kereta pun yang langgar aku.

Emak kata, maghrib-maghrib elakkan memandu kereta sebab banyak syaitan yang mengganggu. Memang benar ketika tu maghrib, aku mungkin memilih batu yang berada di tengah jalan itu ialah realiti, bukan khayalan Imaginasi yang membentuk krisis. Syukur kepada Allah sebab dalam tragedi yang teruk sebegitu, aku terpelihara dari sebarang kecacatan mahupun luka dari cermin yang pecah tu. Malah, boleh meneruskan misi Hidup sebagai seorang Dae'i. Hebatnya Allah.



Sekian dari Syuib0809

Monday 3 September 2012

Video penutup MYC 2012

Bismillah.

Hujung minggu menuju ke Kalumpang untuk MYC 2012. InshaAllah beritanya akan menyusul sebaik sahaja gambar-gambarnya keluar di alam maya. Setakat ini, saksikan dulu video penutup yang disunting oleh si Burhan yang hensem.




Aksi yang si Adin keluar dari sungai tu sila jangan percaya. Mati, hidup semula pun silalah jangan percaya.

Sekian dari Syuib0809